Monday, November 1, 2010

Kanser Prostat


JIKA kaum wanita dihantui dengan kanser payu dara, kalangan kaum lelaki pula berasa gerun dengan kanser yang paling tinggi menyerang mereka iaitu kanser prostat.
Bayangkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, statistik kes kanser prostat dikatakan berlaku seorang dalam enam orang lelaki.

Sama seperti kaum wanita yang merasakan kehilangan sebahagian ciri-ciri wanita apabila diserang kanser payu dara, kanser prostat juga menimbulkan tekanan emosi yang sama kepada lelaki. Ini kerana peranan seksual lelaki berkait rapat dengan prostat.

Prostat merupakan kelenjar sebesar buah berangan yang terletak di bawah pundi kencing dan berhadapan dengan rektum. Saluran kencing (uretra) menyalurkan air kencing melalui prostat.

Prostat pula mengeluarkan sebahagian daripada cecair yang terdapat pada air mani. Pancutan air kencing atau air mani bergantung pada tahap kesihatan prostat.

“Kesukaran atau kerap membuang air kecil dan sering terdedah pada bahan-bahan radiasi merupakan antara simptom awal seseorang diserang kanser prostat,” jelas Pakar Perunding Urologi dari sebuah pusat perubatan swasta, Dr. Peter Ng Eng Pin pada sesi ceramah bertajuk Kesihatan Lelaki di Bawah Tali Pinggang di Hotel Boulevard Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seperti kanser-kanser lain, kanser prostat adalah sejenis penyakit yang mana sel-selnya berkembang di luar kawalan. Ia mungkin berlaku apabila terdapat perubahan pada gen-gen dalam badan lelaki sehingga mengakibatkan kelenjar-kelenjar prostat membiak secara abnormal.

“Biarpun punca sebenar berlakunya kanser prostat masih menjadi tanda tanya, para penyelidik berpendapat gaya hidup sihat adalah antara cara terbaik menghindari ancaman berbahaya ini.

“Antara faktor risikonya adalah usia, sejarah keluarga, bangsa, diet dan lain-lain faktor seperti obesiti, pendedahan kepada radiasi, merokok, kurang bersenam dan penyakit kelamin,” jelasnya.

Menurut Dr. Peter Ng, pada dasarnya, usia dikenal pasti sebagai faktor utama risiko kanser prostat. Hampir 50 peratus lelaki berusia 50 tahun ke atas lebih berisiko menghidap kanser ini.

Kajian klinikal mendapati, lebih daripada 12.5 peratus lelaki Asia telah dikenal pasti menghidap kanser tersebut. Selain itu, sebanyak 540,000 kes melibatkan kanser prostat telah dikesan di seluruh negara sejak tahun 2000.

Dari aspek sejarah keluarga pula, Dr. Peter Ng berkata, sesetengah kajian menunjukkan mereka yang mempunyai seorang saudara terdekat yang menghidap kanser prostat berdepan dua kali ganda risiko mendapat kanser yang sama.

“Ini mungkin berpunca daripada faktor genetik, tahap hormon lelaki (testosteron) dan diet yang tinggi lemak haiwan sehingga meningkatkan risiko penyakit ini,” ujarnya sambil memberitahu, faktor lain adalah pemakanan dan persekitaran.

Dr. Peter Ng menambah, pada peringkat awal kanser prostat, seseorang itu mungkin tidak dapat melihat sebarang perbezaan. Dengan erti kata lain, tahap awal kanser prostat tidak akan menunjukkan sebarang simptom, tetapi dalam sesetengah kes, pesakit akan mengalami simptom pada bahagian bawah saluran kencing.

“Sebaik mencecah peringkat berbahaya, pesakit akan mengalami kesukaran untuk kencing, rasa sakit untuk kencing, kencing berdarah atau terdapat darah dalam air mani, sakit tulang, lumpuh dan kegagalan buah pinggang untuk berfungsi,” tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, pengambilan makanan yang seimbang seperti bijirin, biji matahari atau labu dan buah-buahan yang mengandungi likopin membantu mencegah kanser tersebut.

Mengenai kaedah rawatan, beliau berkata, terdapat dua kaedah imbasan yang biasa digunakan iaitu pemeriksaan rektum digital dan ujian darah antigen prostat khas (PSA).

“Pesakit yang berada pada peringkat awal penyakit dan mendapatkan imbasan sepatutnya mempunyai peluang yang lebih cerah untuk sembuh.

“Kanser prostat mempunyai banyak kaedah rawatan. Bermula daripada pembedahan, terapi radio, kemoterapi, kombinasi beberapa terapi atau tanpa rawatan.

“Biasanya, pembedahan adalah kaedah rawatan yang paling lama bagi pesakit kanser dan merupakan pilihan pertama kebanyakan pesakit. Ia juga merupakan percubaan terapi pertama yang paling penting dan mungkin boleh menyelamatkan nyawa,” jelasnya.

(petikan dari http://cancer-b17.blogspot.com TERIMA KASIH)

No comments: