Friday, November 12, 2010

40 HADITH AKHIR ZAMAN - HADITH 07

Hadith 07 - Golongan Yang Sentiasa Menang

Diriwayatkan oleh Bukhari :

Daripada Mughirah bin Syu'bah r.a. berkata : Rasulullah SAW bersabda. : Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dkehendaki oleh Allah SWT, Mereka sentiasa berjaya".

Umat Muhammad merupakan umat terakhir dan dijanjikan oleh Allah SWT akan dipelihara Al-Quran sebagai kitab kita sehingga kiamat. Tugas dakwah akan lahir dari generasi ke generasi yang memikulnya hingga tetap wujud golongan mukminin di muka bumi ini.

Dalam sejarah Islam, umat-umat Islam sentiasa diuji dengan ujian yang berat-berat bermula pada zaman permulaan penyebarannya sehingga ke saat ini. Lihatlah bagaimana ujian dari golongan musyrikin di Mekah, munafiqin, nasrani dan yahudi di Madinah, gerakan riddah, Majusi, Bathiniyah, falsafah dan pemikiran Yunani, serangan Moghul dan Tatar yang menghancurkan tamadun Baghdad, penyembelihan kaum muslimin  semasa kejatuhan kerajaan Islam di Andalus, pengaruh imperialis Barat, gerakan zionis, missionari Nasrani dan berbagai-bagai lagi ujian yang tetap wujud dalam rupabentuk yang berbeza, identiti yang berlainan dan peranan-peranan yang sama untuk menghancurkan umat Islam.

Biarpun hari ini ada dikalangan orang Islam yang tidak mengambil endah akan agama mereka tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh mempelajari agama dan memperjuangkannya. Ramai orang Islam yang telah rosak akhlak dan hancur moralnya tetapi masih ada lagi golongan yang tetap berpekerti luhur. Aktivis Islam ditindas dan di cerca tetapi masih ada yang dihormati.

Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap sehingga sampai pada masa yang dikehendaki oleh Allah. Pasa masa itu Allah akan mematikan semua orang-orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan tinggallah orang jahat atau kafir, maka pada saat itu akan  berlakulah hari kiamat.

No comments: