Wednesday, November 19, 2014

Celakalah Orang Yang Menjual Agamanya

Jelek sungguh dunia sekarang. Ustaz sudah hilang kezuhudannya. Mengejar harta dunia lebih teruk daripada kafir laknat. Tak perlu mengajar orang lagi tentang kita kufur dan munafik. Siapa yang kufur dan munafik sebenarnya? Jangan mudah melaknati orang lain sedang karung dosa mu selabuh jubah yang kau pakai itu. Ramai ustaz sudah tidak boleh bersederhana dalam semua aspek hidup.

Lagi kau cuba membacakan doa yang belum tentu makbulnya jika hidupmu itu tidak berbaik santun. Agama bukan hanya sekadar ibadah wajib dan sunat. Bukan menunjukkan sunah dengan beristeri dua atau tiga. Agama itu way of life. Bukan tools of life. Sekarang ini ramai yang gunakan agama untuk kehidupan.

Hei manusia, ustaz, imam,bilal, qari, imam muda, mat rempit, pengemis, pegawai polis, pegawai tentera, pensyarah dan semuanya; janganlah menunjukkan kamau lebih beriman dari yang lain hanya kerana kamu kuat beribadah sedangkan akhlak kamu rendah sekali. Sekarang ramai pula orang agama lebih suka untuk menjadi ikon popular. Ingatlah populariti itu akan membuatkan kamu riak dan sombong dan akhirnya takut akan membawa fitnah yang besar.

Cukup sekadar menjadi orang biasa.


Thursday, September 4, 2014

Dalam Gelap

Usai melabuhkan mata dalam samar cahaya ini, benak kepala masih memutarkan cakeranya untuk melihat kembali bahawa seperti ada kekosongan dalam jiwa. Hari ini menyaksikan bahawa kehidupan ini umpama roda yang berputar. Betullah sesungguhnya ada masa kita berada dibawah dan ada masa kita akan berada di atas putaran hidup itu. 

Rasa hormat pada sesiapa sahaja amat penting kerana kita tidak tahu bahawa suatu hari orang yangdiherdik itu adalah orang penting dalam kita berurusan untuk mendapatkan keputusan. Jangan menjadi orang yang meludah ke langit dan akhirnya air ludahan itu jatuh ke muka sendiri. Kerap sunnguh ramai orang yang berburuk sangka dengan orang lain kerana begitu merasakan dirinya sempurna.

Kesempurnaan bukan setakat datang kerana selalu dilatih. Kesempurnaan datang dengan keikhlasan dan restu orang sekeliling. Jangan cuba memaksa orang untuk memenerima kesempurnaan kita kerana dalam mencari sempurna itu menunjukkan ruang kekurangan diri kita.

Yang banyak belum tentu cukup dan yang kurang kadangkala mencukupi. Pandanglah yang di bawah untuk merasai kesyukuran. Jika langit itu cuba diukur, kita terus merasa masih lagi rendah. Janganlah bergantung harap kepada manusia.

Monday, September 1, 2014

Secawan cham

Sementara menunggu cukupnya masa, aku menikmati secawan cham. Bukanlah sangat minuman yang menjadi pilihan tetapi yang ini agak jarang dibuat dirumah. Dalam tidak sedar rupanya masa sudah hampir tiba. Masa yang dinantikan itu penuh debaran. Persediaan sekadar yang mampu. Doa tertitip bersederhana sebagai orang-orang biasa. Orang yang imannya agak rapuh. Orang yang masih lagi mmbuat dosa. Orang yang masih lagi menzalimi atas perkara-perkara yang dinasihati alim ulama. Masih lagi membuang masa yang lapang, tetap lagi lalai tatkala masih sihat dan terus dipinjamkan nyawa. Usia yang muda sudah mulai pergi dan sedang meniti hari-hari tua. Mana silapnya?

Sekarang seperti tiada jalan pusing kembali. Teruskan perjalanan walau berbagai ranjau ditempuhi.

Give Respect To Gain Respect

Semakin hari semakin ramai kita berjumpa dengan berbagai ragam manusia. Kita boleh melihat ada yang mulai berubah dengan status terkimi yang mereka miliki. Yang dahulunya rapat mulai renggang. Yang dahulunya begitu akrab sekarang nak bertanya khabar pun begitu sukar.

Ada juga yang berubah kerana ada pangkat sedikit tinggi daripada orang lain. Ada yang mulai menjauhkan diri kerana kini dia seorang usahawan berjaya. Tak kurang yang sedikit angkuh kerana dia bukan orang biasa, dia sudah menjadi seorang yang bertauliah. 

Dalam banyak situasi, keadaan yang paling merbahaya apabila pangkal nama bukan seperti orang kebanyakan. Nama sudah ada gelaran. Atau nama sudah dinaiktaraf gelarannya. Cuma janganlah rasa terlalu bongkak membawa gelaran haji jika adab susila itu tidak begitu mabrur gayanya.

Moral untuk kita katakan kali ini ialah terus menjadikan dir kita seadanya. Perubahan taraf dan usia hidup bukan sama-sama mengubah siapa kita. Kita perlu menjadi orang yang sama seperti mana sebelumnya dalam mengangkat jasad dan roh yang dipinjamkan ini. Untuk mendapatkan penghormatan kita perlu lebih dahulu memberikan hormat kepada orang lain. 

Tuesday, August 19, 2014

Kembali berposting

Setelah hampir lama senyap akibat aktiviti yang kononnya terlalu menyibukkan diri,  kini kembali untuk mencoretkan semula apa yang dipandang dalam bentuk tulisan. Semoga pandangan ini dapat dilihat oleh semua orang nanti dalam bentuk frasa-frasa pembacaannya. 

Friday, May 16, 2014

Buat guru

Ceritanya...

Semalam,
Ada mak bapak yang datang meradang,
Menghentak meja, bersuara lantang,
Meluah rasa menjeling pandang,
Kecik hati tak diundang,
Marah benar bila dibuang,
Mcm amuk pemain bola dibuang padang.

Ceritanya...

Semalam,
Maruah cikgu diejek-ejek,
Dikata tak layak jadi pendidik,
Ijazah yang ada sekadar dikelek,
Masa mengajar dipendek pendek,
Pengalaman yang ada disukat cetek,
Telinga cikgu mendengar jelek.

Ceritanya...

Hari ini,
Ada murid yang datang lewat,
Sedangkan rumah duduknya dekat,
Cikgu pun tanya kenapa liat,
Hari-hari lambat, ke mana solat?
Muka murid tersenyum kelat,
Otak murid berfikir ligat,
Nak gentar apa, cikgu tak boleh nak sebat,
Paling tak tulis nama dlm buku lewat.

Ceritanya...

Hari ini,
Ada cikgu mengajar di depan kelas,
Ada murid di belakang bersembang bebas,
Ada kerja untuk 1 kelas,
Tapi yang siap tak sampai sebelas,
Marah cikgu berbekas bekas,
Niat di hati mengajar ikhlas,
Yang rajin tiga belas,
Yang lain malas !

Ceritanya...

Nanti,
Tatkala result keluar,
1 sekolah berdebar-debar,
Mak bapak tak sabar-sabar,
Mesti result anak aku bikin gempar,
Silap-silap masuk surat khabar.

Ceritanya...

Bila result mula diumumkan,
Anak dapat cukup cukup makan,
Anak nangis mintak ehsan,
Bukan apa takut balik dirotan,
Anak dipujuk, cikgu disalahkan,
Konon cikgu tak berkelayakan,
Ilmu yang ada tak cukup padan,
Mak bapak melepas baran,
Anak aku bukan sebarangan,
Lahir dari keturunan tuan-tuan,
Patut dapat keputusan number one.

Ceritanya...

Hari ini,
Hati cikgu mendidih-didih,
Mak bapak tak tahu berterima kasih,
Hati cikgu mana tak sedih,
Tapi cikgu hatinya jernih,
Marah pergi sejuk diraih,
Biar mak bapak makinya berbuih,
Nawaitu cikgu bersifat bersih,
Luhur hatinya tetap ditagih.

Ceritanya...

Hari ini,
aku berterima kasih,
Pada guru yg berperit jerih,
Yang tak pernah letih,
Bukan wang ringgit yang cikgu ketagih,
Cukuplah sekadar terima kasih.

Saturday, May 3, 2014

Perkongsian Pesanan Iman 2 - Allah itu Maha Pemurah

Cuba kita duduk saat ini dan memikirkan sejenak berapa kalikah di saat kita dalam memerlukan lali meminta pertolongan kepada Allah lalu Dia terus sahaja memberikan apa yang kita perlukan itu samada rezeki, pertolongan, kesihatan dan sebagainya. Renunglah sahabatku di saat kita bermohon dan Allah memberikan secara percuma, di masa kita banyak sungguh melakukan kesalahan , Dia mengampunkannya, ada ketika kita dalam kesulitan lalu Dia permudahkan. Dan dalam kita berdoa, Allah memakbulkan doa kita.

Rakan-rakan semua, fikirlah ada dikalangan permintaan kita yang dimakbulkn oleh Allah adalah atas makbulnya doa orang-orang lain; mungkin ibu, ayah, adik-beradik, guru, sahabat, saudara, alim ulama, jiran dan sebagainya. Fahamilah bahawa kita adalah berkaitan antara satu sama lain. Lihatlah keajaiban sang semut dan anai-anai. Jika mereka seekor sunnguh kecil mereka tetapi bila mereka berada dalam unit yang banyak, bisa merobek dan membinasakan.

Ya Allah ampunilah kami yang terlalu leka dengan kehidupan dunia yang terlalu sementara.

Thursday, May 1, 2014

Perkongsian Pesanan Iman 1 - Hanya padaMu Allah

Jika kita meminta, hendaklah berminta kepada Alllah, nescaya kita akan mendapat pertolongan, kecukupan, petunjuk, ketetapan, kebaikan dan solusi masalah serta kekuatan diri.

Monday, January 13, 2014

Nilai satu undi

Wahai pemimpinku sekelian, sentiasalah beringat-ingat akan nilai satu undi penyokong anda.  Sebelum ini mungkin anda menang dengan majoriti yang tinggi. Belum tahu empat lima tahun lagi anda boleh dapat mengulanginya sekali ini. Mungkin kecewa satu undi ini boleh mempengaruhi sepuluh ribu undi yang lain agar menilai kembali respon anda kepada rakyat semua. Kami ini pengundi adalah penilai dan anda pemimpin adalah subjek yang dinilai.

Kami tidak meminta anda tunaikan kesemua janji pilihanraya dulu. Sungguh betul faham bahawa dalam pilihanraya kedua-dua pihak yang bertanding akan menabur seribu satu janji. Teknikalnya dipanggil manifesto. Kasarnya ia adalah sebahagian daripada semata-mata cakap-cakap kosong sahaja.

Wahai pemimpin yang budiman, kami tidak mengharapkan kehadiranmu disepanjang masa bersama-sama kami. Duduk bersila makan sehidang nasi. Atau bertanya kami apa yang perlu dibantu? Kami hanya mahu menjadi mata dan telinga kepada anda untuk bersama-sama kita menjaga kawasan kita. Kami faham pemimpin seperti anda sibuk dan kurang mempunyai masa yang terluang. Tapi ambillah berat akan rungutan dan komentar yang kami berikan secara percuma untuk anda memberikan khidmat yang terbaik. Wahai pemimin berilah respon anda. 



Tuesday, January 7, 2014

Yang lorek itu kendi; yang terbaik itu iman

Berjawatan tinggi dan berpangkat besar menjadi cita-cita setiap orang. Berjaya dalam erti kata pada pandangan mata kasar dapat semua kemewahan yang diidam-idamkan. Kereta besar, rumah besar, baju mahal dan berbagai-bagai lagi tanda aras yang berbeza-beza diletakkan masyarakat umum. Pada mereka kejayaan itu dilambangkan dengan jenama dan gaya hidup mereka.

Sungguh sedih melihat kejayaan yang disanjung hanya cantik dimata dunia sahaja. Keperluan memenuhi kehendak Islam diperlekeh begitu sahaja. Masih membiarkan rambut terurai bebas tanpa memakai hijab atau sekurang-kurangnya bertudung.  Membiarkan anak- anak gadis yang remaja menuju dewasa tidak bertudung sama seperti ibunya juga. Adakah itu dikatakan kejayaan dan kemajuan. Biarpun budi pekerti elok seperti elokknya kendi itu tetapi air yang baik perlulah air yang dimasak.

Betapa luluhnya hati seorang bapa jika hanya membiarkan rambut-rambut wanita itu dibiarkan tanpa tudung. Kembalilah kepada fitrah seorang Islam.

2014

Alhamdulillah masih diberikan nafas untuk menghirup udara 2014. Detik-detik akhir 2013 telah terjadinya satu peristiwa penuh tragis. Allah menguji umatnya selagi mana mereka termampu menanggungnya. Peristiwa lma berlaku kembali dihari majlis perkahwinan. Kesedihan itu hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang tahu. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

Perginya ibu yang disayangi pada hari paling penting dalam sejarah hidup seorang anak gadis; dihari pernikahan anak tersebut adalah satu dugaan besar. Berbagai-bagai cerita yang berlaku kepada seseorang itu menunjukkan bahawa ragam yang berbeza tetapi ada kesamaannya dalam kita redha dalam menerima sebarang dugaan tersebut. Terimalah ketentuan itu bahawa kita hanya merancang menggunakan perancangan yang telah kita aturkan tapi akhirnya perancangan Allah yang lebih baik. Dia Maha Mengetahui. 

Sebahagian besar tahun 2013 telah merangkumkan bahawa manusia ini berubah kerana kuasa dan wanita. Lihatlah betapa kuasa itu telah menjadikan seseorang itu menjadi begitu angkuh. Dengan kuasa itu dipergunakan sehabisnya untuk memerah keringat orang lain. Gelincir dari landas-landas biasa, lari dari lurus-lurus jalan untuk capai dengan cara terlarang. Begitu juga dengan kuasa wanita yang telh menewaskan keperkasaan seorang lelaki hebat. Seorang wanita telah berjaya mengawal seorang bendara sebuah negara.