Monday, June 8, 2015

Tribute Buat Pak Ngah

Hampir empat puluh tahun lampau,
Keringat berdirinya satu tubuh gagah,
Melintasi Laut China Selatan,
Membawa harapan setinggi puncak Kinabalu,
Meninggalkan hidup yang penuh kasih sayang,
Antara si ibu dan lima anaknya.

Usai perginya seorang suami dan bapa,
Si ibu membela keluarga dengan kudrat dan air mata,
Oh tabahnya keluarga ini,
Seawal fajar peluh mulai menyimbah,
Mengikhtiari rezeki-rezeki Ilahi,
Yang pasti berjumpa bagi yang usaha mencari.

Begitu tabah hati insan istimewa ini,
Tidak membawa duit melimpah,
Sekadar untuk membina hidup,
Ikhsan dari taulan sekampung,
Terkadang dia juga bisa menangis,
Kasih ibu dan adik beradiknya didomba.

Hari demi hari,
Bulan berganti bulan,
Saban tahun kertas kalendar bertukar,
Insan hebat ini terus berusaha,
Untuk mengubah nasib keluarga,
Sesekali pulang ke desa menjenguk ibu tercinta.

Dalam musafir itu,
Insan hebat membina hidup,
Dikurnia isteri tercinta dan putera-puteri soleh dan solehah pewaris keluarga.

Hidup ini seperti air laut,
Ada air pasang air surut,
Insan hebat ini diuji Ilahi,
Benarlah janji-janjiNya,
Ada sakit menaikkan darjat pahala,
Dipanggil Ilahi pada Jumaat yang mulia,
Meninggalkan kami semua yang tercinta,
Kami redha pemergiamu atas rahmat dan kasih Sang Pencipta.

Saat ini Pak Ngahku Allahyarham Yassin Bin Busu,
Anakandamu ini mengingati susuk tubuhmu,
Anakanda ini merindui hela tawamu,
Anakanda ini sungguh rasa terbudi,
Semoga ayahanda Yassin dirahmati
Syurga itu menantimu Pak Ngahku.
Salam penuh kasih sayang
Dan ku runtun Al Fatihah dari kejauhan ini.
Untuk Pak Ngahku...kasihku padamu kekal abadi.

Saturday, June 6, 2015

Cerita Tentang Kasihnya Seorang Adik

  1. Lama sungguh tidak bercerita dalam blog ini kerana leka kononnya sibuk yang sebenarnya tidaklah sibuk sangat pun.
  2. Dalam sibuk itu, dapat berjumpa dengan seorang sahabat yang berkongsi cerita akan ajaibnya usaha merawati kakaknya yang tersayang bertarung nyawa melawan penyakit kanser tahap 4.
  3. Selepas mencuba dengan berbagai cara kaedah perubatan hospital yang berteraskan sains ciptaan manusia, hasilnya kurang berjaya dan diminta kakak yang sedang sakit itu dibawa pulang ke rumah untuk seperti merelakan detik dan  ketika dipanggil Sang Pencipta.
  4. Si adik memikirkan bahawa usaha perlu diteruskan kerana ajal maut ini hanya Allah yang menentukan. Ini rahsia Allah supaya kita sentiasa siap siaga tanpa kira usia dan ketika untuk dijemputnya. 
  5. Kasih si adik sungguh murni. Seisi keluarga dikerahkan untuk bersengkang mata tanpa kira penat lelah untuk terus menjaga kakaknya yang tercinta.
  6. Si adik kembali kepada fitrah sebenarnya. Rawatan kepada kakak diberikan dengan menggunakan ayat-ayat penawar dari Al Quran. Makanan sunnah disuapkan kepada si kakak seperti meminum air zamzam dan memakan kurma. 
  7. Doa, solat sunat dan zikir mengingati Allah adalah jamuan rohani yang menjadi satu kemestian.
  8. Saban hari usaha murni menggunakan agama sebagai solusinya dikerahkan. Seisi keluarga berusaha keras dengan penuh istiqamah untuk menjaga kakak tercinta sehingga pengajian tahfiz anak ditangguh sementara,  agar sama-sama mengambil giliran menyengkang mata menemani kakaknya. Jangan dikira berapa banyak air mata yang bercucuran mengadu kepada Ya Rabbul Izzati agar kesembuhan dan kesejahteraan dikurnikan kepada kakak tercinta.
  9. Alhamdulillah Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengasihani. Kesihatan kakak kembali seperti sediakala dan gembira sungguh si adik mensyukuri qudrat Ilahi. Syabas sahabatku Tuan Haji Roslan, semoga Allah merahmati anda sekeluarga. Juga terima kasih berkongsi cerita. Yang baik perlu dibuat teladan dan ilmu itu datang dalam berbagai cara