Thursday, September 4, 2014

Dalam Gelap

Usai melabuhkan mata dalam samar cahaya ini, benak kepala masih memutarkan cakeranya untuk melihat kembali bahawa seperti ada kekosongan dalam jiwa. Hari ini menyaksikan bahawa kehidupan ini umpama roda yang berputar. Betullah sesungguhnya ada masa kita berada dibawah dan ada masa kita akan berada di atas putaran hidup itu. 

Rasa hormat pada sesiapa sahaja amat penting kerana kita tidak tahu bahawa suatu hari orang yangdiherdik itu adalah orang penting dalam kita berurusan untuk mendapatkan keputusan. Jangan menjadi orang yang meludah ke langit dan akhirnya air ludahan itu jatuh ke muka sendiri. Kerap sunnguh ramai orang yang berburuk sangka dengan orang lain kerana begitu merasakan dirinya sempurna.

Kesempurnaan bukan setakat datang kerana selalu dilatih. Kesempurnaan datang dengan keikhlasan dan restu orang sekeliling. Jangan cuba memaksa orang untuk memenerima kesempurnaan kita kerana dalam mencari sempurna itu menunjukkan ruang kekurangan diri kita.

Yang banyak belum tentu cukup dan yang kurang kadangkala mencukupi. Pandanglah yang di bawah untuk merasai kesyukuran. Jika langit itu cuba diukur, kita terus merasa masih lagi rendah. Janganlah bergantung harap kepada manusia.

Monday, September 1, 2014

Secawan cham

Sementara menunggu cukupnya masa, aku menikmati secawan cham. Bukanlah sangat minuman yang menjadi pilihan tetapi yang ini agak jarang dibuat dirumah. Dalam tidak sedar rupanya masa sudah hampir tiba. Masa yang dinantikan itu penuh debaran. Persediaan sekadar yang mampu. Doa tertitip bersederhana sebagai orang-orang biasa. Orang yang imannya agak rapuh. Orang yang masih lagi mmbuat dosa. Orang yang masih lagi menzalimi atas perkara-perkara yang dinasihati alim ulama. Masih lagi membuang masa yang lapang, tetap lagi lalai tatkala masih sihat dan terus dipinjamkan nyawa. Usia yang muda sudah mulai pergi dan sedang meniti hari-hari tua. Mana silapnya?

Sekarang seperti tiada jalan pusing kembali. Teruskan perjalanan walau berbagai ranjau ditempuhi.

Give Respect To Gain Respect

Semakin hari semakin ramai kita berjumpa dengan berbagai ragam manusia. Kita boleh melihat ada yang mulai berubah dengan status terkimi yang mereka miliki. Yang dahulunya rapat mulai renggang. Yang dahulunya begitu akrab sekarang nak bertanya khabar pun begitu sukar.

Ada juga yang berubah kerana ada pangkat sedikit tinggi daripada orang lain. Ada yang mulai menjauhkan diri kerana kini dia seorang usahawan berjaya. Tak kurang yang sedikit angkuh kerana dia bukan orang biasa, dia sudah menjadi seorang yang bertauliah. 

Dalam banyak situasi, keadaan yang paling merbahaya apabila pangkal nama bukan seperti orang kebanyakan. Nama sudah ada gelaran. Atau nama sudah dinaiktaraf gelarannya. Cuma janganlah rasa terlalu bongkak membawa gelaran haji jika adab susila itu tidak begitu mabrur gayanya.

Moral untuk kita katakan kali ini ialah terus menjadikan dir kita seadanya. Perubahan taraf dan usia hidup bukan sama-sama mengubah siapa kita. Kita perlu menjadi orang yang sama seperti mana sebelumnya dalam mengangkat jasad dan roh yang dipinjamkan ini. Untuk mendapatkan penghormatan kita perlu lebih dahulu memberikan hormat kepada orang lain.