Wednesday, March 31, 2010

Zina; Antara Terlanjur, Penjenayah dan Pembunuh

  1. Tidak dapat disorokkan lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Ini bukan lagi acara bermusim malah ia sudah menjadi sesuatu yang tetap dan berterusan setiap masa.
  2. Lagi ditegur lagi menjadi. Lagi dikempen lebih ramai bayi yang terbunuh dan terbuang.
  3. Zaman sekarang dimana dunia tanpa sempadan; Melayu menjadi lebih buruk dari Arab jahiliyah terdahulu. Janin dan anak dibuang seperti membuang chewing gum. Habis manis dan belonnya ditiup getah dibuang bersepah-sepah.
  4. Benar; memang mudah nak lekat (hamil)  kata orang dahulu kesan daripada seks bebas tersebut.
  5. Acara permukahan atau dengan bahasa mudah zina; sudah menjadi kebiasaan bagi orang-orang Melayu sekarang tidak kira peringkat umur; remaja belasan tahun, remaja 20an, 30an, 40an, 50an dan ada yang termasuk senarai remaja 60an; yang umur dah masuk tahhajud. Mana pergi rasa keinsafan?
  6. Ramai yang lebih takut mati pucuk dari takut mati sebenarnya.
  7. Atas dasar pembangunan modal insan katanya; perlu ada anjakan pradigma supaya fikiran dan perbuatan harus diubah menjadi lebih terbuka; bebaskan segalanya kata ejen-ejen perosak yang ada di dalam persikataran sekarang ini. Semua mahukan kebebasan; seks bebas; ekonomi bebas, politik bebas; dan apa-apa saja.
  8. Terlalu banyaknya hiburan yang melampau contohnya realiti tv telah berjaya mengubah realiti orang sekarang supaya menjadi lebih jahiliah daripada Arab jahiliyah terdahulu.
  9. Seteruk-teruk Arab jahiliyah dahulu; mereka berzina tidak buang janin dan anak; dan juga ditahap paling burukpun binatang tak bunuh anak; akan tetapi sekarang orang Melayu yang terlampau ini lebih busuk dan buruk jika hendak dibandingkan dengan kaum jahiliyah dan binatang tersebut.
  10. Kesedaran dan kempen yang cuba dilakukan juga banyak yang membawa kepada bibit-bibit percampuran lelaki dan perempuan secara bebas; dibuat mengikut acuan sosial yang langsung tidak menerapkan ciri-ciri yang dikehendaki syariat Islam; akhirnya silap hari bulan ada anak luar nikah yang lahir dalam majlis kesedaran tersebut.
  11. Akhirnya akibat terlanjur seorang itu menjadi penjenayah; pembunuh!
  12. Jauhilah zina; pendokong zina dan apa sahaja yang membawa kepada zina.


Blogged with the Flock Browser

Monday, March 29, 2010

kikirnya kasih anakmu

Baru kesekian kalinya
Setelah kau tiada
Aku pasrah jua
Betapa kikirnya kasih padamu
Kurangnya saling sayang
Membalas kasih padamu....ibu

Semakin jauh jasadmu
Semakin dekat terasa hadirnya
Ada lagi kasih itu

Aku pesongkan cintamu
Aku lelap dalam  kembara
Aku sesat dalam musafir
Kerana sibuk manjakan diri
Bukan niat untuk melukai
Biar saja  nampak kau gembira
Dalam hiba
Kau sembunyi duka

Dalam terang kau meraba
Mendamba setitik kasih anakmu

Terkadang  bayangmu nampak dimata
Bisik manja ke halwa telinga
Ibu sayang kamu.
Tiada harta akan diwarisi
Hanya ilmu sebagai bekalan
Agama menjadi pedoman


Buat seorang ibu
Hanya doa dapat dipohon
Agar kau bahagia disana
Sentiasa kau dirahmati
Terima kasih atas korban
Besarkan anakmu siang dan malam
Ampunkan anakmu
Kepada Allah berharap
Kasih ini tidak padam
Ya Allah
Kasihanilah
ibu dan ayah
Sepertinya kasih mereka
Dalam terang dalam sembunyi
Kasih luhur dan abadi





Blogged with the Flock Browser

Sunday, March 28, 2010

Taubat Seorang Hamba

Terima kasih kepada pemilik asal klip. Untuk renungan dan masih ada lagi jalan kembali.....

Corengnya Kain Putih Itu

Pernah dulu
Semasa dizahirkan kedunia
Masih lagi sucinya hati
Umpama kain putih bersih
Telah dicorak dan diwarnai
Sebuku hati yang masih lembut
Dengan keimanan dan kesopanan

Umur dilangkaui sekelip mata
Sesudah dikemudi hidup sendiri
Hati merah dan lembut
Mulai keras dan hitam
Kerana ia telah ternoda

Mendongak ke langit
Tanyalah kepada iman
Bersihkah lagi kain itu?
Dijemur terabai begitu sahaja

Keterlanjuran yang datang
Bukan kerana salah asuhan
Tapi hati hitam ini pernah keliru
Jalan bercabang jua yang dituju
Kerana nafsu menjadi penghulu

Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus
Jalan yang kau berikan nikmat
Bukan jalan orang yang kau murkai
Dan juga bukan jalan orang yang sesat
Sesungguhnya pintu taubat masih terbuka
Dia Maha Pengampun dan Maha Santun

Blogged with the Flock Browser

Friday, March 26, 2010

Sepertinya Hanya Padang Bola (Re-entry)


Empat sudut padang ini
Diukur tepat aku punya
Digaris jalur tanda sempadan
Ada luar; ada dalamnya.

Ketika itu
Engkau datang merangkak
Minta bermain dipadang aku.
Bersama dua tiga kawanmu
Kami setuju kerana katanya kita satu

Memang aku dan kawanku mudah lupa
Semasa bersama teman leka
Asyik berlari-lari mengejar bayang petang
Kau tendang bola itu sampai rosak padang

Lalu satu hari
Seronok kau beri aku bola
Konon untuk bermain bersama
Walau hanya diberi bola plastik
Bukan  pula bola getah
Seperti kami punya

Dulu aku tendang jauh
Agar engkau penat mengejar
Rupanya kau pintar
Engkau lari silih berganti
Pegang tangan himpun hati
Agar satu hari padang bola ini
Akan aku beri tiada peri
Akhirnya dapat nanti kau miliki.

Hari demi hari
Bertukar pula baju
Kau pula tendang bola itu laju.
Tak terdaya aku mengejarnya
Sampai akhirnya
Apa aku amat takut
Padang ini pasti akan engkau yang punya
Kalau aku sepaknya lemah
Hantar silang tahan tiada.
Dan sampai masa
kami semua hanya jadi pengutip bola sahaja.

Blogged with the Flock Browser

Pari Passu


  1. "Pari Passu" adalah perkataan Latin yang membawa maksud dalam bahasa mudah hak kepada yang berhak. Kedua-dua pihak mempunyai hak yang adil; termaktub antara kedua-duanya tanpa ada pihak yang membuat penindasan keatas hak pihak yang lagi satu.
  2. Sekarang; banyaknya berlaku penindasan hak dalam setiap aspek kehidupan. Keluarga, negara, perniagaan, perkhidmatan dan sebagainya.
  3. Dalam konteks hubungan anak dan kedua ibu bapa; ramai anak yang sudah mendapat hak kasih sayang, nafkah, perlindungan dan sebagainya dari orang tua mereka tetapi sebagai balasannya kedua orang tua ini ramai yang terabai. Banyak hak-hak mereka yang ditindas dan tidak berada dalam imbuhan yang sepatutnya. Teruknya anak-anak pula hanya membuat penafian bahawa secara hakikinya hak yang diberikan oleh orang tua mereka merupakan satu tanggungjawab orang tua tersebut. Perlukah dibalas hak tersebut? Tanya mereka.
  4. Begitu juga dengan hak rakyat dengan pemimpin. Undi ditagih dalam pilihanraya untuk menang; menjadi pemimpin tidak kira sebagai pro kerajaan atau sebaliknya; pemimpin-pemimpin tersebut lupa bahawa sebenarnya tanggungjawab asas mereka adalah mewakili rakyat dalam mendapatkan hak rakyat; tapi apa yang jadi sebenarnya; kepimpinan digunakan untuk mengambil hak rakyat.
  5. Bertegang urat, fitnah, pembohongan dan hilangnya santun manusia; hilangnya kewarasan akal berlaku dalam dan luar lapangan politik hanya semata-mata mengenyangkan perut mereka dan sekadar menjadi hero telah melalaikan tanggungjawab mereka berkhidmat kepada rakyat. Nanti akan sampai lagi pilihanraya akan datang; kita tabur lagi janji. Kita tipu lagi rakyat; kita bebas katanya.
  6. Tidak sudah-sudah rakyat yang berkhidmat kepada orang-orang yang berkenaan. Memang semuanya rakyat yang menanggung dahulu susah; kesenangan hanya mereka-mereka yang merasainya. Apa ada pada airmata dan keringat rakyat? Salahkah kalau kita membuat sesuatu biar pemimin susah dahulu barulah rakyat susah; kita tidak mahu pencapaian yang tidak kesampaian; kita mahukan pengorbanan.
  7. Dan penindasan hak ini juga berlaku dalam urusan perniagaan. Ramai yang mempergunakan orang lain dalam melaksanakan urusan mereka; berniaga tanpa modal; guna duit orang, menindas orang; dan akhirnya apabila hak orang yang membuat kerja itu perlu dibuat bayaran; langusng tidak dibayar. Berbagai alasan. Katanya 'back-to-back"; tahu-tahu hak orang berhak itu telah diliwat; lebih teruk maruahnya dari pelacur jalanan.
  8. Yang lebih dashyat mereka berkokok serata alam; akulah orang hebat; mana tidak hebat? Orang lain yang susah dia yang senang; lebih-lebih lagi nama tidak lagi berencik dan bertuan; nama sudah ada datuk dipangkalnya. Gelaran yang membuat ramai orang menjadi lebih jahat.
  9. Terakhirnya; ramai hamba yang tidak memberikan kembali hak Tuhannya; ramai yang memudahkan Islam dan bukan Islam yang memudahkan mereka.
  10. Maka fikir-fikirlah hak orang lain dari terlalu memikirkan sepenuhnya hak sendiri kerana sampai masa kita ini kembali kepada yang berhak keatas kita; Allah Tuhan Maha Agung.
  11. Dialah Allah yang memiliki segala apa yang dilangit dan di bumi (Surah Ibrahim; Ayat 2)
Blogged with the Flock Browser

Tuesday, March 23, 2010

Ibu

Terima kasih kepada pemilik asal klip.
Untuk difikir-fikirkan oleh kita semua.
Sudahkah kita bertanyakan khabar ibu kita hari ini?
Sihatkah dia?
Apakah pengorbanan terbesar kita selama ini dalam membalas jasanya?
Adakah terlalu kasih kepada isteri dan anak-anak telah melalaikan sayang kita kepada seorang ibu?

Buat isteri tersayang; bermuhasabahlah bahawa anda juga seorang ibu yang hebat. Sayangilah ibu dan ibu mertuamu agar nanti anda juga anda akan dikasihi oleh anak dan menantumu...

Sunday, March 21, 2010

Buat Saudaraku Palestin

Kami tidak dapat bersama-samamu berjihad dilapangan dalam mempertahankan hakmu. Akan tetapi semangat dan doa kami tetap bersamamu. Biarpun kami sepertinya gembira disini tapi ratapanmu tetap sama kami rasai. Satu hari mungkin kami pun begini. Siapa tahu?
Ya Allah berilah kekuatan kepada saudara kami di Palestin untuk terus berjuang....Amin.

Ya Tak Ya


  1. Was-was merupakan satu penyakit kurang keyakinan; kadang-kadang was-was ini mungkin juga terjadi kerana terlalu yakin.
  2. Seperti apabila kita keluar dari rumah; kita tertanya-tanya sudahkah pintu rumah itu dikunci?, sudahkah suis seterika ditutup?, sudahkah tap air diketatkan? dan sebagainya.
  3. Persoalan itu semuanya terjadi kerana buah fikir kita terlalu diberikan tumpuan keatas sesuatu perkara.
  4. Mungkin juga kita memperbesarkan perkara yang kecil.
  5. Atau memperkecilkan benda yang besar.
  6. Juga tidak langsung berfikir kerana ada orang yang kurang fikiran; baik sedikit dari kurang siuman.
  7. Sifat ya tak ya ini meninggalkan beberapa kesan dalam kehidupan kerana nampak macam beria-ia rupanya hampa belaka.
  8. Keutuhan perilaku juga dari segi awalnya nampak macam ada kehebatan tetapi lama kelamaan sepertinya mengetuk tin yang kosong; bunyinya bising dan berlekuk pula tin tersebut.
  9. Mana sama bunyi rebana; semakin kuat dipalu, semakin kuat bunyinya semakin merah tangan pemukulnya.
  10. Sama-samalah mengambil iktibar.
Blogged with the Flock Browser

Warisan - Jasa Bonda

Sayangilah ibu selagi dia masih lagi mengharapkan belaian kasih anak-anaknya. Selalulah kembali ke pangkuannya atau tanyalah khabarnya sekerap mungkin kerana sampai janjiNya suara dan pelukan sayang itu hanya menjadi kenangan..

Saturday, March 20, 2010

Bila Ibu Marah


  1. Ibu adalah seorang insan yang paling tabah. Sebab itu sakit hamil dan bersalin itu; hanya seorang ibu yang tahu akan siksaannya. Jika ditakdirkan lelaki itu yang bersalin; alamat kena terajang percuma sahaja doktor yang menyambut kelahiran tersebut.
  2. Sikap seorang ibu itu suka berleter, ringan mulut dan kadang-kadang ringan tangan dalam membesarkan anak-anaknya mungkin juga akan terbawa-bawa sehingga kedewasaan anaknya. Berapa ramai anak yang suka dileteri dan dimarahi ibunya biarpun sebenarnya itulah luahan kasih dan sayang yang diluahkan dalam bentuk yang tersembunyi.
  3. Apabila seseorang ibu mulai marah; kita perlu melihatnya dari beberapa interpretasi.
  4. Bila seorang ibu itu marah; maknanya dia merasa kehilangan sayang seorang anak; tandusnya kasih dan belaian yang sepatutnya diberikan oleh seorang anak.
  5. Bila seorang ibu itu marah; dia merasa bahawa tekanan yang amat hebat lebih berat dari kesakitan bersalin; keperitan membesarkan anak dan apa sahaja rintangan yang pernah dilaluinya.
  6. Dapatkah seorang anak itu membalas setiap butir kasih sayang yang diberikan oleh ibu itu.
  7. Ini kerana seorang ibu bisa menguruskan tekanan yang selama ini dihadapinya dengan begitu baik.
  8. Gelak dan ketawa yang dilemparkannya terlalu bersahaja dalam menyembunyikan kedukaannya yang selama ini dipendamnya.
  9. Bila sesekali ibu itu marah; biarkanlah dia meluahkan segala apa yang dipendamnya kerana malukah kita bila sesekali dimarahi ibu dari kita memarahinya biarpun berkata cis sahaja.
  10. Buat seorang ibu; anakmu memohon ampun dan maaf kerana kurang mengambil tahu hirisan hatimu yang terguris rupanya parah lukanya.
  11. Ya Allah kau ampunilah aku kerana bersangka buruk kepada ibuku bila dia memarahi anaknya; kau panjangkanlah rahmat dan redhaMu agar dia sentiasa berada dalam petunjuk dan keselamatanmu.
  12. Kami anak-anakmu agak lalai membaca isi hatimu kerana nalurimu ibu tidak dapat kami samakan dengan naluri kami yang agak dengkil ini.
Blogged with the Flock Browser

Wednesday, March 17, 2010

20 Amalan Murah Rezeki

Terima kasih dari pautan asal klip ini. Sekadar memanjangkan untuk manfaat lain.

Tuesday, March 16, 2010

Iklan Rokok Dari TV Indonesia

Kreatif dan untuk difikir-fikirkan....

iktiraf, doa taubat

Terima kasih wildan blogspot; untuk renungan.

Thola'al Badru 'Alaina(versi melayu)

Hiburan alternatif

Menanti Penuh Hikmah


  1. Penantian akan sesuatu yang dikhabarkan baik adalah sebahagian daripada ujian.
  2. Jangan bersikap sangka buruk kepada sesiapa kerana jika penantian itu akhirnya mendapatkan apa yang ditunggu ataupun sebaliknya; tiada siapa yang tahu.
  3. Jangan mudah putus asa dan selalu positif bahawa yang ditunggu-tunggu itu akan sampai juga.
  4. Penantian juga memerlukan satu istiqamah bahawa sebagai manusia biasa;biarpun kita mempunyai perancangan dan akhirnya rancangan Allah adalah yang benar dan tepat.
  5. Tidak perlu untuk menyukarkan keadaan yang sudah agak sukar jika didapati bahawa penantian itu akhirnya tidak akan mendapati apa yang diingini.
  6. Pastilah bahawa setiap sesuatu itu perlu mendapat rahmat dari Allah dan bukan hanya berdasarkan amalannya sahaja.
  7. Redha dan tawakal selalu jika matlamatnya baik; Allah akan memberikan laluan dan bantuan.
  8. Pencarian hari ini adalah untuk hari ini kerana ketentuan untuk esok dan selepasnya adalah milik dan ketentuanNya.
  9. Menanti dengan penuh hikmah.
Blogged with the Flock Browser

HSM (Re-entry posting)

 

  1. HSM. Satu nama yang menguntum mekar di daerah utara Negeri Gerbang Selatan. Inilah gedung yang penuh dengan inspirasi dan aspirasi bagi satu kepimpinan untuk kekhalifahan insan.
  2. HSM. Sesungguhnya Usaha Itu Bukan Kata kerana ramai orang yang cuba memperdaya dengan menggunakan lidah yang melahirkan sebanyak mana kedustaan demi pangkat, harta dan darjat. Yang teruknya ia melaratkan pembohongan itu sampai kepada tahap keimanan kepada yang Maha Esa. Jangan hanya tinggal pada nama. Berjuanglah penuh tenaga.
  3. HSM.Kau telah membuktikan bahawa anak-anak desa ini juga mampu membawa sebuah perjuangan sepertimana anak-anak bandar. Bisa mengubah daripada satu episod kegelapan dalam mencari satu kehidupan hakiki. Selagi kami manusia; kami tetap sama. Yang membezakan hanya iman dan amal sahaja.
  4. HSM. Disinilah tempat yang berjaya menjadi asas untuk melahirkan manusia yang hebat. Berguna; hidup lagi menghidupkan.
  5. HSM. Kehebatan yang ada hasil dari korban satu bangsa. Korban untuk bicara bahasa ibunda. Sesungguhnya setiap pengorbanan itu telah menjadi tanda agar anak-anak bangsa ini sepatutnya menjadi lebih peka...jangan sampai hilang segalanya bagi setiap apa yang semakin hampir hilang samada dalam terang mahupun sembunyi belakang.
  6. HSM. Satu kehidupan pernah berlaku disini dan semangatnya masih membara. Uhkuwah dan setiakawan kepada satu persahabatan akan tetap berkekalan. Biarpun ada yang hanya sementara seusianya seperti tingkatan-tingkatan yang ditinggalkan dahulu.
  7. HSM. Demi persabahatan itu; ikatan itu kembali terjalin dan restu di pohon agar ianya diberkati olehNya.
  8. HSM. Kehidupan diteruskan untuk destinasi seterusnya sebelum berlabuh di alam kekal; runtuhnya langit robeknya bumi.
  9. HSM.Terima kasih kerana sebuah kedudukan telah terbina dari satu kehidupan yang bermula disini......
Blogged with the Flock Browser

Sebelum Solat Dihadapan Imam



  1.  Asyiknya kita mencari dunia. Bukankah ianya semua sementara dan hanya nampak senang dimata. Resah dihati siapa yang tahu?

  2. Masih ada lagi masa untuk kembali ke jalanNya. Belum lagi terlewat kerana tuntutan ilmu berakhir hingga saat kita ditalkinkan.

  3. Aku, kamu dan juga mereka pernah lalai dan lupa kerana fitrahnya manusia; memang mudah lupa; dan itulah asas kata pemula; insan.

  4. Ayuhlah sahabat semua; marilah kita bersolat dibelakang imam dan jangan ditunggu untuk mencari titik perubahan sehingga kita akhirnya disolatkan dihadapan imam.

  5. Jika itu berlaku; kasihanilah sebujur jasad kaku; hilanglah anak, isteri dan harta. Selamat tinggal dunia.

  6. KepadaNya dia datang dan kepadaNya kita dikembalikan. Tidak kira raja, pembesar negara, tua, muda, lelaki atau wanita; kita semua sama.

  7. Kita masih punyai masa, kesihatan dan kelapangan untuk mengatakan kita syukur kepadaNya.

  8. Bersama kita istiqamah dalam melafazkan satu pengabdian abadi; Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad itu pesuruhNya.

  9. Saudaraku sekelian; bila lagi harus ditunggu untuk kembali kepada Tuhanmu?


Powered by Qumana

Friday, March 12, 2010

Berhentilah Merokok

Sampai bila hendak dizalimi diri sendiri. Wang yang banyak tidak dapat membeli kesihatan.

Wednesday, March 10, 2010

Seorang Sahabat; Juga Seorang Abang


  1. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.
  2. Seorang sahabat dan jugalah seorang abang. Begitulah ungkapan buat seorang insan hebat Abdul Rahim Bin Osman.
  3. Persahabatan ini terjalin dengan kehendakNya. Sama juga seperti persahabatan yang lain kecuali yang ini agak terlalu istimewa.
  4. Kami bukanlah adik-beradik tapi uhkuwah dan talian persababatan kami telah melangkaui ikatan kekeluargaan. Apa yang terjalin adalah datangnya dari satu keikhlasan tentang hubungan sesama insan.
  5. Kami sudah tahu isi hati kami; kami kongsi cerita suka dan duka. Umpama yang kiri terluka; kanan juga terasa pedihnya. Ini bukanlah kawan semasa senang tetapi ini teman seperjuangan.
  6. Teman Sejati; dunia dan akhirat.
  7. Kasihnya hebat;  lebih seperti seorang abang kepada adiknya. Resah dan sendunya; senada dan seirama dengan lengok cerita adiknya.
  8. Hormat adik kepada abang tidak berbelah bahagi.
  9. Sayang dan kasih kepada teman ini umpama kasih Muhammad kepada Abu Bakar dan sebaliknya.
  10. Kami kongsi kisah hidup; kuah sama dihirup sambal sama dicolek. terapung sama hanyut terendam sama basah.
  11. Tidak dapat dicari golok ganti; tiada nilai yang dapat diberi.
  12. Sahabat; maafkanlah jika selama dalam persahabatan ini ada kesilapan zahir dan batin; ada kata nista yang melukai hati. Sesungguhnya sejak azali aku sudahpun memaafkan setiap kesalahanmu. Dan sesungguhnya engkau begitu menyenangkan diriku dalam setiap waktu.
  13. Ya Allah kau rahmati dan berkatilah talian persabahatan kami yang terjalin ini. Kau lindungilah kami supaya dengan itu dapat kami bersama-sama mencari keredhaanMu ...
  14. Terimalah penghargaan dari seorang sahabat juga seorang adik buat seorang sahabat juga seorang abang.
Blogged with the Flock Browser

Haba Akhir Dari Tangan Seorang Ibu (Re-edit From Pusing to Jempol 2)


Trut...trut...…bunyi handphone. "Bang datang wad sekarang mak tengah tenat". Zuppp……berderau darahku. Tapi aku kuatkan juga langkah ini. Masya-Allah, sejuk badan aku. Terasa dah sampai masanya.

"Bismillahirrahma nir rahim..Yasin.." Aku gagahkan juga membaca Surah Yasin biarpun detik dan ketika itu tidak dapat digambarkan . Semakin lama aku melihat mata mak; dah semakin diam. Nafasnya semakin laju. Sebak aku pun makin terasa. "Kita ni kalau orang dengki kepada kita janganlah kita berdendam. Redha dan tawakallah dengan Allah anakku." Pesan emak semasa kami berniaga buah-buahan dahulu; selalu sahaja abah di dengki oleh orang kampong. Mual aku kadang-kadang tengok perangai orang kampong ni. Sampai akhirnya membuatkan emakku membuat keputusan untuk berpindah sahaja untuk balik semula ke kampungnya; Simpang Jeram.


"Abah bukan marah kamu tapi kalau beginilah perangai kamu; besar nanti tak tahulah." Itulah ungkapan yang biasa diucapkan setiap kali dia memarahiku. Zahirnya; tidak pernah diraut wajahnya menunjukkan kasih sayang kepadaku tetapi rupanya dihati seorang ayah; tugas utama bagi memberikan kasih sayang kepada anak adalah memastikan nafkah makan minum, persekolahan, rumah, baju dan sebagainya dapat dibekalkan setiap masa. Pada setiap masa komunikasinya adalah terlalu mendatar. Ramah mesranya tidak seperti yang ditunjukkan kepada orang lain.

"Ya Allah kau ampunilah dosaku kepada ayahku kerana bersangka buruk terhadapnya semasa dia membesarkan anak-anaknya yang nakal ini. Rupa-rupanya bukan sengaja dia sepertinya lokek; tetapi semuanya bersebab.

Abah tak tahu aku pernah cilok duit dia pasal dia lokek sangat. Kalau aku minta duit kepadanya semuanya nak kena 'justified' dan selalu alasannya belum masa lagi. Dan sudah tentu tidak dapat akhirnya.

Nah sekarang aku tahu apabila kita menjadi seorang ayah bukan semua kehendak anak kita perlu kena ikut. Betullah sayang bini tinggal-tinggalkan; sayang anak kena bedok. Budak-budak hari ni naik tocang pasal tak boleh kena rotan.


Aku rapatkan mulutku kat cucur telinga mak. Ikut saya mak ....perlahan-lahan…mengucap Ashaduallah Illah Ha illa  Allah..  masa itu aku tengok matanya berkelip-kelip. Terputus-putus suaraku dalam sebak yang perlahan. Pergilah egonya seorang lelaki ketika itu membiarkan sahaja air mata jernih itu bertitisan. Sesekali ada juga titis-titis airmata itu yang jatuh dimukanya. Kerdipannya mengikut sebiji-sebiji sebutan kalimah azimat yang aku bisikkan itu. Ya Allah…...apakah ini saatnya ….aku redha dengan ujianMu Ya Allah…….Kehilangan harta benda boleh dibeli dan diganti tetapi hilangnya seorang ibu …......tiada gantinya.


"Mak saya minta ampun dan maaf dengan mak. Biarpun semasa itu dia tidak lagi menunjukkan sebarang reaksi. Tidak seperti masa sihatnya yang selalu berkata kepadaku; 'kamu ni....." "Emak; halalkan semua makan minum saya ; saya degil dan tidak mendengar cakap mak. Saya banyak pentingkan diri saya. Saya sombong. Tidak dapat saya membalas setiap kasih yang emak curahkan. Saya terlalu berhutang budi kepada emak. Lebih-lebih lagi susumu yang tiada tolok bandingnya…Saya tidak puas lagi hendak berkongsi sebahagian daripada rezeki yang Tuhan beri bersamamu.

Selalu kau berlapar memastikan kami anak-anakmu sentiasa kenyang. Selalu kau menadah muka dan telinga untuk dimarahi oleh ayah demi menyampaikan permintaan anakmu. Dapat atau tidak bukan matlamatnya; sememangnya kau sentiasa mencuba untuk anak-anakmu.

Tapi begitulah suratannya; ini semua pinjaman sahaja dan sampai masanya perlulah dipulangkan kepada yang empunyaNya.


Ya Allah kau kasihanilah kedua ibu bapaku sepertimana mereka mengasihiku dari kecil hingga dewasa.  Ampunilah dan rahmatilah mereka berdua."



Apalah mamat tu dah tua-tua pun mak dan ayah datang hantar makan? Kataku dan sahabat-sahabatku melihat perlakuan seorang 'junior'. Itulah emak dan ayah….tak lalu makan ingat anak-anaknya? Tak senang hatinya memikirkan makankah anak-anaknya? Sihatkah dia?

Bukan macam anak-anak bila sudah bekerja mana hendak ingat mak dan ayah. Berapa kerapkah kita bertanya khabar mereka? Panaskah telefon bimbit kita setiap hari menelefon mereka? Oh! kawan; mana perginya kasih sayang kita?

Nah baru aku nampak nilai dan erti satu pengorbanan. Harapan dan sokongan berterusan dari ayah dan ibu untuk melihatnya anaknya dapat membesar sebagai seorang 'orang'. Bukan pasal benda yang hendak diisi dalam perut itu sahaja. Tapi kelazatan rohani yang tak tidak berbau dan tidak dapat dirasai itu tidak mudah datang  membuka seleranya. "

Mak…..mengucap mak…Ombak dadanya semakin besar. Jam masa itu kurang lebih pukul 2.00 pagi. Bergilir-gilir aku baca Yasin. Jangan sampai ada yang berhenti. Aku pesan kat adik-adikku…masing-masing berbisik dekat telinga mak meminta ampun dan maaf. Aduh apalah kiranya jika kesempatan meminta ampun itu tidak dipergunakan.  Masanya semakin suntuk. Apa-apa jadi kita terima dan reda. "Bang aku rasa baik kau pergi ambil nenek …agar dapat mak menghembuskan nafasnya didepan ibunya. Gegas aku dibuatnya agar sentiasa dapat menggenggam tangan makku. Itulah haba terakhir dari tangan seorang ibu.

…."Nenek saya nak membawa nenek pergi ke hospital..emak sedang tenat." Dia hendak pergi dengan ibunya disisi kataku. Dan sesampainya kami kembali ke hospital itu sekitar pulul 3.30 pagi..sebujur kaku seorang emak sedang menanti ibunya datang juga.

Blogged with the Flock Browser

"Mathematically"


  1. "Mathematically" frasa yang Arsene Wenger biasa guna kerana secara matematiknya dia pengurus yang hebat.
  2. Dalam kadar usia seperti 'kita-kita' ini; sepertinya waktu zuhur menuju ke asar atau asar sudahpun menghampiri maghrib; formula matematik yang paling banyak digunakan dalam konteks kehidupan adalah TOLAK.
  3. Teramat jarang operasi tambah atau darab dapat digunakan kerana mulai detik ini penolakan atau pengurangan menjadi hampir keseluruhan atur kerja yang digunapakai. Umur and kesihatan adalah dua nikmat yang telah diberikan pengurangan supaya kita sedar bahawa kita semakin menghampiri penghujungnya.
  4. Usia nampak secara suratannya bertambah tapi yang tersirat adalah berkurangan. Jika secara puratanya umur lelaki di letak pada angka 60 tahun. Baki yang masih tinggal untuk insan yang sudah berumur 40 tahun adalah hanya cuma 20 tahun. Sedangkan dahulu pada usia 20 tahun; baki yang tertinggal adalah 40 tahun. Bukankah pengurangan namanya?
  5. Cukupkah 20 tahun itu untuk kita membayar segala kekurangan dan keterlanjuran yang telah berlaku?
  6. Sedangkan jika lapan jam sehari dikira waktu untuk kita rehat dan tidur; bermakna dalam 40 tahun lepas kita sudahpun tidur selama 13.3 tahun. Kalau anak-anak dah boleh masuk tingkatan satu.  Puh....lama tu. Yang kita celik hanya 27 tahun. 
  7. Tetapi celikkah hati kita?
  8. Lihatlah baki yang tinggal semakin berkurangan. Berkurangan dan semakin berkurangan.
  9. Begitu juga dengan duit. Semakin banyakkah duit kita? Sedangkan ia semakin berkurangan secara tersiratnya. Kerana duit yang banyak boleh menjauhikan kita dariNya.
  10. Seperti juga sihat yang semakin berkurangan. Kerana tidak menjaga kesihatan. Kerana mengambil supplementary yang paling ringan.Asap. Atau menyedut nikotin secara klinikalnya.
  11. Matematiknya kita masih sempat berubah. Berubahlah sahabatku.
Blogged with the Flock Browser

Bermuhasabahlah


  1. Dalam pusingan hidup ada suka dan dukanya; ada episod senang yang ramai menyukainya.
  2. Ada juga secebis kisah kesusahan yang perlu ditempuhi.
  3. Hakikat melangkaui ranjau dan onar ini sememangnya menyedarkan bahawa Dia menguji kita keatas apa yang mampu kita tempuhi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Maha Penyayang.
  4. Adakah kita hanya mengingatiNya tatkala kita berada dalam kesusahan dan mendekatiNya apabila kita inginkan sesuatu. Ya Allah kau perbetulkanlah hati kami yang kotor dan iman kami yang mundur ini. Kami terlalu zalim mengingkari perintahMu Ya Allah.
  5. Adalah terjadi sesuatu itu menjadi peringatan kepada kita supaya kita sentiasa ingat bahawa hidup ini perlu berpaksi kepadaNya. Kita terlalu mudah lalai dan melupakanNya; di saat kita melupakaNya sudah pasti Dia melupakan kita; dan apabila kita mengingatiNya Dia Maha Pengingat.
  6. Sering kita lupa bahawa sebenarnya harta, kekayaaan, anak dan isteri itu juga merupakan ujian dan ada sedikitnya nikmat tersebut merupakan rezeki.  Kadang-kadang kita keliru.
  7. Wahai saudara sekelian; sampailah masa untuk kita bermuhasabah; masa kita semakin singkat. Semakin singkat; mungkin sebentar lagi; malam ini atau esok kita akan dipanggil. Sediakah kita berjumpanya dalam keadaan sekarang. Malu dan insaflah.
  8. Perbetulkanlah diri kita supaya keimanan kita pada hari ini adalah lebih baik dari semalam. Mungkin ini peluang terakhir kita. Dia yang Maha Adil selalunya memberikan kita peluang kedua suapaya kita perbetulkan diri kita dan kembali kepadaNya. Cahaya itu ada disana.
  9. Marilah kita mencari akhirat dimasa dunia yang sibuk kita cari semakin kita keciciran; takut nanti akan hilang kedua-duanya.
  10. Bermuhasabahlah...
Blogged with the Flock Browser

Sunday, March 7, 2010

High School Muar 89

Antara persahabatan yang pernah dan akan tetap menjadi kenangan.......Ya Allah; kau berkatilah dan rahmatilah sahabat-sahabatku semoga kami semua mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

Saturday, March 6, 2010

kasihku

Ya Allah kau jadikanlah anak-anak ini sebagai anak yang soleh dan sesunguhnya amanah menjadikan mereka khallifah di muka bumi adalah amat besar. Semoga mendapat kesejahteraanMu dunia dan akhirat.

Segenggam tabah

HIdup umpama roda. Syukur diberi ujian dalam bentuk kesusahan berbanding kemewahan dan kesenangan yang mudah melupakaMu.

TEMAN SEJATI

Siapalah kita tanpa teman sejati? Ya Allah kau selamatkan kesemua teman-temanku dunia dan akhirat. Sesungguhnya mereka semua begitu menyenangkan diriku dalam setiap waktu.

Friday, March 5, 2010

Pernah Merokok


  1. No smoking!
  2. Pernah suatu ketika aku pun merokok juga. Nak nampak jantan katanya. Masih tu di peringkat sekolah lagi. Mungkin juga akibat pengaruh arwah ayah dan pak cik yang lain-lain merokok.Juga terbau asap rokok yang dihembus oleh mereka saban hari.
  3. Juga secara rawaknya kalau nak dewasa kena merokok kata geng-geng dahulu.
  4. Apabila sekolah, kalau nak senang berkawan kena campur kawan-kawan lain yang merokok. Tak payah susah-susah cari kawan surau ke.
  5. Nampak macam merokok ini adalah ego demi status kelakian.
  6. Lamanya bergelumang dengan dunia rokok ini. Daripada harga tidak sampai seringgit sampai nak hampir enam tujuh ringgit. Tapi tak sempat nak beli rokok yang nak hampir sepuluh rinngit ini. Mahalnya.
  7. Betulkah kalau harganya tiga puluh ringgit pun perokok akan beli? Mana rasionalnya?
  8. Sempat jumpa double ace, rough rider. lucky strike pendek, st moritz, caferee (rokok slim), dan macam-macam lagi pada masa tu.
  9. Apabila dah bekerja merokok kerana alasannya nak 'release tension' atau sumber inspirasi. Selesai masalah. Atau bertambah masalah pasal gaji tak sempat hujung bulan. Habis dibeli rokok yang nakal itu.
  10. Kasihani dirimu wahai teman, sesungguhnya merokok itu bukan setakat makhruh tapi sudah menjadi haram.
  11. Akupun semasa merokok mana nak terima semua alasan tersebut kerana itu semua karut kata perokok-perokok tersebut. Masing-masing punya prinsip diri. Jangan campuri urusan orang lain. 
  12. Berhentilah merokok sahabatku selagi kita masih mempunyai pilihan tersebut.
Blogged with the Flock Browser

iklan solat yg tiada di malaysia

Marilah Solat>>>Marilah Menuju Kejayaan

Monday, March 1, 2010

Top 5 Most Stupid Goals

Jangan selamanya diperbodohkan......

Paku yang perlu diketuk


  1. Dalam industri pembinaan, paku merupakan satu bahan yang paling penting yang menjadi penyambung kepada bahagian-bahagian yang tak terpasang. Untuk tujuan menyatukan komponen-komponen tersebut menjadi satu model lengkap atau unit terbina.
  2. Ramai yang tidak nampak akan kepentingan paku dan membazirkanya begitu sahaja.
  3. Unit-unit terbina ini tidak akan dapat menjadi satu model yang sempurna dan kuat jika sekiranya paku tersebut tidak digunakan. Mungkin untuk tujuan pameran atau perhiasan bersifat sementara dan kosmetik; tanpa paku unit tersebut mungkin akan juga terbentuk tetapi tidak kuat; longgar dan akhirnya jatuh kembali satu persatu.
  4. Walau bagaimanapun untuk mencapai akan tujuan dan maksud tersebut, paku ini memerlukan tukul; tukul besi untuk mengetuknya samada untuk masuk penuh atau separa penuh. Jangan sekali-kali mengunakan saiz tukul yang salah.
  5. Bagi tujuan penyambungan paku tersebut perlulah diketuk penuh supaya ada kekuatan dan memberikan kemasan yang rapi. Tetapi bagi tujuan menyangkut baju atau bingkai gambar ianya hanya perlu sekadar separa masuk supaya lebihan yang terjulur keluar itu boleh digunakan.
  6. Jarak hentakan dan cara pegangan tukul juga penting supaya tembusan yang sempurna dapat dibuat oleh tukang.
  7. Jarang sekali kita mendengar tukang yang mahir menggunakan paku plastik kerana kebanyakan paku adalah dibuat dari besi melainkan set permainan pertukangan kanak-kanak yang digemari oleh orang-orang dewasa.
  8. Sinonim paku ialah tukul kerana paku perlu diketuk. Paku tidak dapat memasuki sendiri atau terbina sendiri kerana sifatnya ia perlu diketuk. Ketuk dan ketuk baru ia masuk.
  9. Natijahnya sekali ketuk sekali masuk dan seterusnya; Secara fizik kedalaman masuk itu adalah subjektif; senang cakap lagi kuat diketuk lagi dalam masuk.
  10. Jika permukaan yang cuba ditembusi terlalu keras; yang gagalnya adalah paku tersebut. Sebaliknya jika kekerasan melampau yang diguna ke atas permukaan yang rapuh; akan pecahlah lubang-lubang tembusan tersebut dan akhirnya tiada kekuatan tercapai dan tak lekatlah paku tersebut.
  11. Bagi tujuan kegunaan atap besi atau zink; paku payung perlu digunakan bagi mengelakkan kesan tembusan lubang akan dilalui oleh air hujan kelak. Orang awam kata atap bocor. Akan tetapi bagi pemborong bumbung yang bohong; mereka sekadar menggunakan paku biasa dan paling teruk digunakan adalah paku semat kerana kepakaran mereka itu terlalu diambil mudah dan mengambil mudah.
  12. Bukankah paku semat itu diketip untuk alas meja sahaja?
  13. Banyak juga paku yang terbuang ditanah kerana ramai tukang yang tidak pandai memegang tukul atau paku sekarang sudah semakin lembut.
  14. Yang menjadi masalah ialah paku yang cuba di hentak dengan menggunakan tapak tangan; paku tak masuk tetapi akhirnya tangan yang luka.
  15. Akhirnya; memang paku memerlukan tukul seperti kilat memerlukan guruh.
Blogged with the Flock Browser