Monday, October 18, 2010

Menjelang 38

  1. Alhamdulillah diizinkan Allah esok hari lahirku yang ke 38. Maha Suci Allah; telah diberikan 37 tahun kepadaku untuk menjadi khalifahnya dimuka bumi ini.
  2. Aku mempunyai kehidupan yang hebat. Sama seperti orang-orang lain. Kau Maha Pemurah dan Maha Adil Tuhanku.
  3. Pengalaman hidup, suka dan duka, dahulu bujang kini berkeluarga, mempunyai isteri yang hebat dan anak-anak yang bijak, rakan -rakan yang berjaya dan hampir kesemuanya telah kau berikan.
  4. Cuma, masa-masa lampauku agak kurang mensyukuri nikmat Islam dan Imannya. Aku lupa dan lalai Tuhanku.
  5. Ya Allah; kau telah limpahi rezekiMu yang berlimpah ruah untuk kehidupanku. Baru kini aku sedar; aku hanya mulai untuk mengucapkan kesyukuran kepadaMu.
  6. Aku yang bersalah; usia selama 37 tahun yang penuh dengan nikmat hidup dan sihat itu sebenarnya ada juga yang tidak digunakan pada tempat yang sepatutnya.
  7. Lalai dan cuai sebagai hambaMu. Ya Allah; aku terlalu mencari dunia yang akhirnya tidak juga aku puas mendapatkannya. Hanya cuba menjadi kaya dunia tapi kikir iman akhirnya.
  8. Aku persiakan usia muda dengan melakukan banyak dosa yang tidak sepatutnya dibuat oleh orang mukmin kerana aku dibuai oleh noda indah dunia yang sementara ini.
  9. Aku tidak memberikan tumpuan dan sepenuh kasih sayang kepada arwah ibu dan ayahku kerana ego aku; Ya Allah; kau ampunilah dosa-dosaku ini.
  10. Menjelang umur ke 38 ini telah memberikan petunjuk bahawa baki hidup sudah menjadi terlalu sedikit. Sempatkah aku? 
  11. Doa dan pintaku sekiranya aku dipanggil untuk kembali ke pangkuanMu, izinkan aku mengunjung Tanah SuciMu agar dapat aku menyempurnakan kerukunanku sebagai umatMu.
  12. Ya Allah, sekali lagi aku memohon ampun atas kelalaianku, tetapkan imanku, berikanlah taufik dan hidayat kepadaku supaya sentiasa bersyukur dan mengingatiMu. Aku hanya makhluk yang lemah, lindungi aku dari syaitan yang direjam.
  13. Ya Allah, kau ampunilah dosa kedua ibu bapaku, kedua ibu bapa mertuaku, isteriku, anak-anakku, adik beradikku, saudara-saudaraku, rakan-rakanku dan sekelian orang Islam samada yang masih hidup atau telah mati. Ya Allah, kau rahmatilah kami, kau redhakan kehidupan kami.
  14. Aku bertaubat kepadaMu Ya Allah. Aku kembali kepadaMu Ya Allah; aku meyesal atas perbuatan maksiat yang pernah aku lakukan.
  15. Ampunilah hambamu ini Ya Allah, Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain selainNya. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa.

No comments: