Sunday, October 24, 2010

Hitam Bakul Berjeraga: Putih Akhirnya

Kisah yang disampaikan oleh seorang sahabat mengenai persoalan yang ramai juga sebenarnya tertanya-tanya tetapi tidak tahu bagaimana dan kepada siapa persoalan itu hendak diajukan. Orang Melayu ramai yang berbuat sesuatu kerana menuruti apa yang orang lain buat. Tidak ditanya mengapa, kenapa dan bagaimana ianya perlu dibuat.
Lalu pada satu petang yang teduh, seorang cucu bermusykil dan menerpa kepada datuknya yang sedang duduk bersenang diri.Lantas bertanya satu persoalan; "Atuk, Halim ingin bertanya mengapa perlu kita membaca Al Quran sedangkan kita tidak tahu pun maknanya tuk?"  Halim tengok dah lama atuk baca? Dari Halim kecil sampai dah habis PMR. Fahamkah atuk maksud ayat-ayat tersebut? Soal seorang cucu yang menantikan apakah jawapan yang akan diberikan oleh datuknya."
"Mari ke mari cucuku! Sapa datuk kepada cucunya." Atuk akan beritahu Halim mengenai satu cerita perumpamaan tentang membaca Al Quran ini. Halim bingkas bangun kerana persoalan yang agak lama bermain dibenak kepalanya akan terjawab.
"Halim, memang atuk tak faham makna ayat-ayat Al Quran yang atuk baca" Dulu pun bapa atuk hanya suruh sahaja atuk baca, atuk pun ikutlah. Sampai dah masuk lebih 10 kali atuk khatam baca Quran." Lim, atuk bukan tak faham langsung maknanya; ada juga beberapa perkataan yang atuk dapat tahu maksudnya dari kuliah kat surau". "Ya..lah bila setiap hari kita baca; dapat tangkap juga beberapa maksud  perkataan tersebut. Terang atuk kepada Halim."
"Tapi lim,  biarpun kita tidak tahu makna semuanya; hari-hari kita tetap kena baca Quran." "Macam nilah lim, ianya umpama bila setiap hari atuk menyuruh kamu mengambil air dari perigi di belakang rumah untuk dipenuhkan kedalam kolah tu."  "Halim, kena ambil air guna bakul rotan buruk yang atuk gantung dekat bangsal itu. Bakul rotan itu dah hitam berjeraga; itu saja bekas besar yang atuk ada. Setiap pagi, Halim akan bawa bakul tersebut, mengangkat air dan mengandarnya kembali ke kolah; tiap-tiap hari Halim kena buat. Memang berjuraian air itu akan keluar melalui bakul rotan tersebut sepanjang laluan yang Halim lalui nanti; memang payah nak penuhkan bakul rotan tersebut, silap hari bulan tidak mungkin dapat diisi air ke dalam kolah itu kerana sampai sahaja ke kolah sudah kering air dari bakulnya. Tapi yang penting Halim mesti berterusan melakukannya setiap hari. Tanpa rasa penat dan kecewa. 
"Lama kelamaan, biarpun tidak penuh kolah tersebut, air-air yang meleleh keluar dari bakul itu akan membersihkan jeraga-jeraga hitam yang melekat di bakul itu, putih akhirnya bakul yang dahulunya hitam. Terang atuk kepada Halim."
Begitulah kiranya walaupun kita tidak faham makna Al Quran, tetapi jika dibaca setiap hari serba sedikit ianya dapat menyucikan hati yang hitam ternoda. Carilah ilmu untuk memahami bacaaan Al Quran walau hanya satu maksud satu hari. 
Ambillah iktibar dari kisah ini supaya ilmu mesti dicari bagi memahami perkataan Al Quran dan seterusnya mengamalkan ayat tersebut. Pelajarilah bahasa arab bahasa syurga. 

No comments: