Saturday, October 30, 2010

Pemandu bas kemalangan genting sepah tidak berlesen?

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di KM38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.

"Pemandu bas tersebut sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya," katanya di sini hari ini.

Che Husin berkata, pemandu tersebut yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedu -duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.

Che Husin berkata, polis sedang menyiasat sama ada pemandu tersebut mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan tersebut. - Bernama



 

No comments: