Saturday, December 29, 2007

Sehelai Kemeja Linen (Groove Version)

  1. Kusut sehelai kemeja linen ini adalah macam kusut juga kehidupan hari ini.  Dalam kekusutan itu ada juga hikmahnya kerana kedut berut itu lebih nampak menawan dari kemeja cotton yang tersisir rapi tapi kotor ditepi.
  2. Sehelai kemeja linen ini bukan bermakna aku akan memakai baju baru satu minggu lagi tapi ianya memberi nyata agar kita kena sentiasa beringat  supaya apabila membuat baju perlu diukur dibadan sendiri. 
  3. Jangan ambil sukatan orang tapi ambil fesyen dan gayanya sahaja. Ramai berkata hidup ini akan bercerminkan paras yang cantik-cantik sahaja. 
  4. Ramai yang salah anggap buruk itu nista; kusam itu kaca; hitam itu kegelapan; berjaga-jagalah akan kesamaran juga penyamaran.
  5. Tidak semesti orang besar kainnya lebih; ada juga insan-insan sederhana kecil jika bazirnya tidak dijaga kain akan berganda. Tukang sukat kena penuh hemat agar tukang gunting tidak meruncing dan akhirnya tukang jahit tidak menjahit senteng.
  6. Kembali sebagai QS; menjadi amali praktisnya ' do not underestimate'; dan falsafah ini bukan setakat perlu diguna dalam kerjayanya tetapi hakiki hidup perlu mengguna amalan yang sama agar nanti menjadi insan yang lebih munasabah.
  7. Jangan pandang remeh pada yang lain kerana setiap seseorang mempunyai kelebihan tersendiri. 
  8. Jangan ingat pengemis itu miskin tapi sebenarnya dia lebih kaya iman dari yang kaya harta. 
  9. Jangan diingat yang buta mata itu sesat sedang mata hatinya lebih celik mencari jalan keterangan.
  10. Jangan fikirkan yang terlantar sakit itu pendek usia sedang yang sihat berasap itu meluru jalan pintas menuju kematian.
  11. Jangan dikira kaya itu bahagia kerana banyak wang dan harta tetapi pastikan keberkatannya sekali.
  12. Akhirnya jadilah orang yang bersopan santun dan lebih memberi manfaat kepada yang lain.
  13. Jangan jadi orang yang melarat dan memudaratkan orang lain.

No comments: