Tuesday, October 24, 2017

19 OKtober datang lagi

  1. Alhamdulillah diberikan peluang oleh Maha Pencipta bertemu lagi 19 Oktober pada tahun 2017 ini  untuk yang kali ke 45.
  2. Buat arwah Mak, terima kasih kerana mengandung dan bertarung nyawa melahirkanku. Biasanya semasa Arwah Mak ada, aku pasti akan menelefon mak untuk melafazkan ucapan terima kasih ini berulang kali setiap 19 Oktober.
  3. Sejak Mak pergi; tiada lagi ucapan sebegitu yang dilafazkan tetapi dalam ingatan ini pasti berterusan melahirkan rasa terima kasih buat mak kerana menjadi seorang ibu yang paling hebat. Menjadi yang terbaik dalam yang terbaik. Kasih sayang Mak tiada tolok gantinya.
  4. Pengorbanan dan jerit payah mak semoga Allah membalasi syurga buatmu seorang srikandi hebat. Sememangnya sedikit pun tidak terbalas Mak akan susu dan jasamu itu. Apalah daya anakmu ini amat lemah Mak.
  5. Allah memberikan hanya sedikit masa untuk menjaga dan berbudi kepada Mak kerana Allah mengambil semula Mak di saat kami mulai berkongsi sebutir kemanisan dalam kehidupan.
  6. Allah menguji Mak dengan sakit kanser yang kesudahan penghujungnya seperti sudah dijangka.
  7. Mak melalui sakit itu dengan penuh derita. Kering sudah air mata Mak menahan sakit. Hilang sudah jerih Mak melawan sakit yang amat sangat itu sebagaimana gugurnya satu persatu rambut Mak selepas selesainya kimoterapi untuk melawan sel-sel kanser Mak.
  8. Pernah saya bersenda dengan Mak, Mak comellah sekarang; yang mana sebenarnya pada masa itu muka Mak mulai bengkak dan sakit.
  9. Disaat sakit yang amat sangat itu, Mak juga kehilangan penglihatan untuk melihat dunia sekelilingnya, menyaksikan bagaimana anak-anaknya memanjangkan sebuah kehidupan yang penuh dengan kisah-kisah airmata ini.
  10. Kami berpegang bahawa Allah menguji umatNya setakat mana yang hambaNya itu mampu menanggungnya.
  11. Mak hanya mampu mendengari suara anak-anak dan cucu-cucu yang baru bermanja dengan neneknya. Tetapi suratannya telah tertulis begitu Mak. Kami redha pada semua yang terjadi kerana Allah Maha Mengetahui akan sesuatu yang terjadi itu.
  12. Ya Allah Engkau gantilah kesakitan yang kau berikan kepada arwah Mak dengan meningkatkan darjatnya untuk mendapat redhaMu.
  13. Sesungguhnya hanya Engkau Maha Pengasih Dan Penyayang, dengan redhaMu kau jemputlah arwah Mak untuk menjadi penghuni syurgaMu.
  14. Buat adik-adik yang telah bersusah payah bersengkang mata menjaga arwah Mak, terima kasih banyak-banyak. Semoga Allah membalasnya dengan pahala dan memberikan kita dengan penghidupan yang lebih baik.
  15. Insya Allah generasi kamu yang akan datang akan menjaga kamu dengan baik sepertimana yang kamu telah lakukan yang terbaik buat emak.
  16. Akhirnya kehidupan ini perlu diteruskan dengan sifat kasih sayang; walaupun secara zahirnya kamu tidak nampak bagaimana kasih sayang itu dihulurkan kepada kamu.
  17. Saya sayang anda semua; untuk sesiapa sahaja yang mengenali diri ini tidak kira rakan sekelas, rakan sekerja, sahabat-sahabat handai, saudara mara dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada rencah hidupku. Semoga Allah melindungi dan memberikan rahmatNya kepada kita semua.
  18. HABLUM MINALLAH WA HABLUM MINANNAS (jaga hubungan dengan Allah dan jagalah hubungan sesama manusia).

No comments: