Friday, February 25, 2011

Buat Hal

  1. Hujan panas yang turun di tengahari hanya menaikkan haba jalan panas itu.
  2. Bila buah fikir dirincis tanpa fikir yang panjang, dangkalnya bunyi keluar berkata.
  3. Apabila ada yang bersangka buruk memikirkan orang mencuri siapa yang sebenarnya pencuri?
  4. Kembali membuat hal kerana merasakan ada pihak yang sudah dapat lebih sedangkan dia katanya kurang.
  5. Terpetarinya 'gentlemen agreement' kerana atas dasar saling percayai mempercayai, sudah kenal hati budi dan seumpamanya.
  6. Tiba-tiba ikatan itu cuba dilanggar oleh hati-hati orang yang busuk. Hanya fikir yang bukan-bukan. Mengikut kata hasad dengki bertingkat.
  7. Jangan ditumbuk dada yang remuk itu kerana mungkin ia boleh mengakibatkan maut. Luka tidak semestinya berdarah. Lari sudah pasti berpeluh.
  8. Akibat nanti, berhuma padi bertuai lalang cuma kerana terlalu percaya kepada khabar.
  9. Jangan jadi seperti kaduk; khuatir nanti gulanya sedap nasi yang mentah; mungkin juga nasi yang tanak gulai yang punah.
  10. Ingatlah jika biduk yang pecah nahkodanya mati; pasti sudah anak buah bercerai-berai.
  11. Selama kelamaan biawak tetap lidah bercabang.

Saturday, February 19, 2011

Sakit

  1. Dunia Islam dan dunia barat mempunyai pandangan berbeza mengenai penyakit.
  2. Bagi Islam, sakit adalah kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba yang dicintai.
  3. Rasulullah saw bersabda; " Allah tidak menimpakan musibah kepada orang mukim melainkan kerana salah satu daripada dua perkara.
  4. Pertamanya mungkin dia mempunyai dosa yang hanya diampunkan dengan memberi cubaan sakit tersebut.
  5. Keduanya, dengan musibah sakit itu; jika ianya dilalui dengan penuh sabar, tawakal dan redha kepada Allah, maka darjat seseorang itu akan dinaikkan. 
  6. Dosa atas orang yang ikhlas menerima musibah sakit ini akan digugurkan, juga kesabaran menerimanya pula pasti mendapat pahala yang besar dari Allah.
  7. Pandanglah sakit dari sudut positif; ambil iktibar.
  8. Yang penting dalam hidup, jangan cari penyakit.
  9. Bagi kawan-kawan yang terlalu aktif bersukan tetapi masih lagi merokok; anda rasa anda sihat tapi sebenarnya?
  10. Sebaik-baik senaman adalah solat dan sebaik-baik diet adalah puasa.

YMCA

 

  1. YMCA bermaksud "Young Men's Christian Association ". 
  2. Di  Brickfields terdapat satu asrama/hotel bajet yang berpaksi kepada persatuan tersebut.
  3. YMCA telah ditubuh diseluruh dunia dengan keanggotan melebihi 45 juta orang daripada 125 negara.
  4. Ada orang kata YMCA adalah youth hostel bagi pelancong-pelancong backpackers seluruh dunia. 
  5. Selalu jugalah parking dalam kawasan YMCA ini apabila pergi ke pusat urut reflekslogi orang buta di Brickfields.
  6. Juga menjadi tanda tanya banyak sungguh gereja di kawasan Brickfields ini.
  7. Contohnya gereja yang membatiskan seorang gadis Melayu bernama Azlina Bt Jailani (Lina Joy) iaitu gereja Church of Our Lady of Fatima.
  8. Lihatlah bagaimana nasrani ini sentiasa cuba mempengaruhi minda kristianisasi; dilakukan serangan secara senyap.
  9. Bagi pengembara yang suka menjelajahi seluruh pelusuk dunia dan mungkin akan tidur di asrama-asrama YMCA yang berada di banyak negara, berhati-hatilah.
  10. Mengapa kurangnya perkhidmatan yang ditawarkan sedemikian ditawarkan oleh Islam kepada remajanya.
  11. Lihatlah dakwah dan penyebaran Islam yang dilakukan oleh segolongan pendakwahnya yang hanya bermalam dimasjid. Kerana apa? Sama-sama kita mengambil iktibar.

40 Hadis Akhir Zaman - Hadis 14

Hadis 14 - Dimana punca kebinasaan seseorang?

Diriwayatkan oleh Baihaqi:-

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah saw bersabda: "nanti akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman ini telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah. Oleh itu, kelak terjadinya peristiwa ini, seseorang itu akan binasa apabila dia meningkari Allah dengan hanya menepati kehendak isteri dan anak-anaknya; Kalau tidak beristeri atau mempunyai anak, binasa itu disebabkan hanya menuruti kehendak kedua orang tuanya, jika orang tuanya sudah tiada, seseorang itu akan binasa apabila ia juga hanya menepati kehendak adik-beradik dan kerabatnya atau juga menuruti kehendak jiran tetangganya". Sahabat bertanya, " Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan engkau itu yang menyatakan kebinasaan seseorang kerana isteri atau anak atau orang tua atau ibu bapa atau adik beradik atau jiran tetangga)?. Nabi saw menjawab, " Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan hidup. Maka disebabkan seseorang ingin mencapai maksud tersebut, dia akan memaksa dirinya melayan kehendak mereka itu, dengan membawa seseorang itu menceburkan dirinya di jalan-jalan kebinasaan yang dimurkai Allah dan seterusnya akan hancurlah hidupnya kelak.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah saudara sekelian dalam memilih jalan kehidupan supaya ianya nanti akan diberkati dan dirahmati Allah.

Kaca Tidak Akan Menjadi Permata

  1. Dunia semakin carca-marba. Kaca yang berkilau itu dikatakan permata. Sedangkan delima yang kotor itu dikatakan kelikir.
  2. Biadap dan derhaka dipuji orang sedang baik bersopan disisihkan.
  3. Payah sungguh mencari ketulenan dalam semua aspek; mungkin sudah banyak sangat kesan 'lanun' dan 'lintah' yang memalsukan kebenaran.
  4. Kepalsuan ini telah menzahirkan situasi seperti meletakkan permata di pangkur.
  5. Bermaksud tidak meletak orang yang sepatutnya ditempat tersebut.
  6. Pengemudian arah musafir memerlukan nahkoda yang tahu membaca mata angin, susur galur samudera, lapar dahaga pendayung dan lain-lainnya.
  7. Jangan menepis isu berbangkit dan akhirnya kebuntuan yang menjadi alasan.
  8. Curiga dan berburuk sangka, hasad dengki semuanya datang dari hati kotor yang dinodai syaitan.
  9. Untuk merasakan kecukupan lihatlah sesuatu yang dibawah atau lebih rendah kerana sesuatu yang diatas atau lebih tinggi membuatkan kita tidak akan merasa cukup sampai bila-bila.
  10. Juga apa yang dialami sekarang umpama permata dibalas senjata.

Monday, February 14, 2011

Buang yang keruh

  1. Seusianya membuang yang keruh dari sebahagian kehidupan juga satu perjuangan.
  2. Perlu ada batas usia dan masa agar dapat dibuang yang keruh itu sedikit demi sedikit ataupun secara sekaligus.
  3. Perjuangan untuk membuang yang keruh itu juga perlu dilakukan secara istiqamah dan bukan mengikut keadaan dan masa tertentu supaya ianya tidak akan berulang dan berulang.
  4. Adalah menjadi kegembiraan apabila sesuatu yang keruh  itu dicanangkan.
  5. Ambillah tindakan sekarang untuk membuang yang keruh itu supaya keruh itu tidak terus menerus membawa kepada kegelapan.
  6. Perlu kita mendapat hidayah Allah dan hidayah itu perlu dicari.
  7. Hanya dengan hidayahNya kita akan mendapati bahawa setiap kegelapan itu ada cahaya penerangnya.
  8. Ya Allah kau terangilah hati kami dengan nikmat hidayahMu supaya yang gelap itu menjadi terang yang keruh itu menjadi jernih.
  9. Ampunilah dosa-dosa kami atas perbuatan melampaui batas kami selama ini.

Monday, February 7, 2011

Wednesday, February 2, 2011

Bala

  1. Nah sekarang kebetulan banjir sedang melanda Johor dan Melaka.
  2. Ada suara-suara yang mengatakan berlakunya bah kali ini kerana bala turun dari Allah.
  3. Mengapa suka kita melihat musibah yang berlaku dengan terlalu meletakkan mudarat ini hanya sebagai suatu bentuk hukuman semata-mata.
  4. Lihatlah dari pandangan positif bahawa sesuatu itu berlaku untuk dijadikan pengajaran dan peringatan.
  5. Bala itu berlaku dengan keadaan yang tidak mengira baik buruk seseorang; rendah juga tawaduk umat ditempat tersebut.
  6. Memang agama dan politik tidak dapat dipisahkan tetapi minda kita terserang untuk memutuskan hukuman atas dasar kepartian.
  7. Kembalilah kita menilai tindak-tanduk yang telah kita ambil dalam menguruskan alam persekitaran; pembangunan yang melampau telah memberikan kemusnahan eko-sistem yang sebelum ini menjadi alat penahan banjir.
  8. Bukit-bukau juga telah rakus diratakan; kadar serapan air oleh pokok hijau juga berkurangan digantikan dengan dinding-dinding perumahan baru.
  9. Sama-sama kita bermuhasabah dan kembalilah kepada Allah.
  10. Jangan mudah meletakkan hukuman keatas sesuatu yang sama-sama melanda kita.