Tuesday, October 18, 2011

Nukilan Hari Lahir Buat Seorang Sahabat

Buat seorang sahabat. Anda seorang yang hebat. Antara kita banyak beza, cuma ada beberapa perkara yang ada kesamaannya.

Pertama, hari lahir kita jatuh pada tarikh yang sama. Tidak pernah direncana apa lagi disusun cara. 19 Oktober 1972, di tempat berbeza dua orang ibu yang amat disayangi telah melahirkan putera-putera untuk mengalas harapan keluarga. Juga kini kedua orang putera ini telah pun kehilangan permata hati yang tiada golok-gantinya. Wahai ibu-ibu yang tercinta, semoga Allah mengampun dan merahmatimu ibu....39 tahun yang lalu, suara tangis bayi yang kau lahirkan itu telah memecah hening hari. Benih kasih sayang yang disemai olehmu sudah pun mengeluarkan bunga mewangi. Akar-akar pohon sudah bercambah menjadi satu pokok kuat. Al Fatihah buat kedua-dua ibu tercinta, sembilan bulan kesusahan membawa kandungan dan waima setitik susumu pun tidak dapat anak-anakmu ini membalasinya.

Kedua, kita datang dari daerah yang sama dan latar keluarga yang bukan berada. Kita hampir buktikan kaya harta bukan menjadi penghalang untuk membina sebuah kehidupan yang lebih bermakna. Kita bawa rimbunan kasih yang memberikan teduhan untuk sebuah lagi kehidupan yang akan datang.

Ketiga, kita pernah membina bersama semangat untuk mencintai agama dan bangsa sewaktu di usia jiwa yang sentiasa dilekakan oleh pendatang yang hanya menunggu masa 'membeli' pusaka tercinta. Masa itu kita marah sungguh kepada mereka-mereka itu, dan kini kemarahan itu tidak berhenti disitu. Perjuangan yang membara harus dihidupkan seperti api di dalam sekam. Katakan kepada mereka-mereka; sopan kita ada batasnya.


Keempat kita telah dididik di satu tempat yang banyak mengajar kita bahawa semua orang boleh berjaya. Dan ketika itu, ia telah menunjukkan bahawa setiap orang perlu diberi peluang kedua. Tempat ini telah melahirkan ramai yang berjasa. Tempat ini memberikan tongkat untuk kita bangun, berjalan dan berlari dengan penuh yakin. 

Wahai sahabat, bersama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Ya Allah tetapkanlah kami ke jalan yang lurus, janganlah kau pesongkan kami setelah kau berikan petunjuk. Ampunilah dosa-dosa lampau kami. Berkatilah usia kami. Dan rahmatilah kami. Ya Allah, kau ampunkan dosa ibu dan bapa kami, kasihanilah mereka sepertimana mereka memberikan kasih kepada kami sewaktu kami kecil hingga dewasa. 

Sahabatku, selamat hari lahir. Angka tiga dihadapan semakin mencemburui kita. Empat dihadapan menunggu pula. Insya Allah.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, October 13, 2011

Dan Keputusannya

  1. Selesai semua persediaan yang telah diatur. Yang dirancang itu sesempurnanya mulai dituruti sebaik boleh supaya nampak tidak dibuat enteng.
  2. Elaklah dari bermain gampang-gampangan tanpa fikir laba ruginya.
  3. Banyak mulut dibelakang yang mungalimut memaki cela menabur nista.
  4.  Satu demi satu dilepasi ranjau itu biar pun kadang rasa adanya sukar memerahkan tenaga lebih daripada biasa.  Ketika ini nampaknya ramai yang berhelat dalam permainan hidup.
  5.  Akal buntu membawa kepada golak jiwa kacau yang mencela sopan kerincihan tenang. Dalih cuba untuk menafikan benar; sudah mengumpan putih cemar menjadi birat kehitaman.
  6. Cakar antara mulut bisa dan hati berbisik jahat menyatukan azam untuk menabung dosa, mencampak begitu sahaja bunga-bunga pahala.
  7. Katakan kepada mereka bakarlah air dan ambil abunya. Jangan dinanti putihnya gagak yang hitam.
  8. Cepatlah ambil kaki diam-diam ubi; susun mundur teratur.
  9. Pilihan sudah lama terbuka. Untuk menemukan punca tersimpul mati buah fikir bukan semudah menabur dusta mencabul hormat percaya.
  10. Mengapa berkepenjangan bertunggang hilang memberani mati.
  11. Dan keputusannya?
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, September 13, 2011

Pintu Keluar

Terdengar hiruk pikuk hati menjerit-jerit untuk dicari jalan supaya keluar dengan segera daripada percikan amarah supaya api tersebut tidak besar membakar. Biar perlu melangkah bongkah-bongkah harapan bahawa  membahas fikir adalah sebahagian dari cabaran untuk berenang melintasi lautan. Tidakkah tahu bahawa memang kail itu pendek, tetapi mengapa masih mahu juga lautan hendak didugal?

Benarlah kata-kata terdahulu bahawa ada peluang ketiga selepas yang satu dan pertama hanyut terhantuk kembali ke tebing. Tidak kerana tongkah yang bocor tapi kayuhan mulai semakin perlahan. Kiri dan kanan semakin tidak sekata kerana mengikut si kanan otot dan tenaganya lebih banyak mendayung usaha; maka apabila dahaga penat maka dia sahaja yang lebih patut meneguk air yang lebih waima air itu adalah air laut yang sangat masin serta percuma.

Datangnya senja yang membawa malam gelap setelah purnama merendah diri akan membuatkan penantian sore terasa begitu hampa. Menjelang subuh luka akal mesti diubati supaya apa yang baik jangan dicerca;  apa yang buruk dijulang sorak. Nah, sampai masa terbitnya mentari pintu keluar mesti dicari agar tidak nanti papa kedana terjun melompat jendela.

Untuk hati yang masih lagi upaya, akal kata masanya sudah tiba. Guruh itu hanya banyak yang berdentum-dendam namun belum tentu hujan akan turun. Lalu, mengapa dibuang bekal ditempayan?

Selamat kembali tangan dan joran, kail itu memang tidak kesampaian. Mari keluar terus cepat sahaja menjala. Seperti beburung, kais pagi untuk makan pagi. Bangkitlah untuk cari pahala sedang kaya harta  bisa menutup sungai-sungai di dalam taman di hari pembalasan. Mungkin dengan noda-noda kotor itu kelak, dosa pula akan dilibas; akhirnya dipanasi api neraka.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Saturday, September 10, 2011

4 Kunci Kebahagiaan

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!" Riwayat Ibnu Hibban

Huraian :

i) Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.

b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.

c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.

d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.

ii) Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.

iii) Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.
Published with Blogger-droid v1.7.4

tok janggut



Published with Blogger-droid v1.7.4

Hyper

Budak yang hyper
Published with Blogger-droid v1.7.4

Friday, September 9, 2011

Kucing Itu Rupanya Musang

  1. Akhirnya pasti akan termaktub suatu keputusan samada suka atau tidak, pilihan mesti dibuat. Dalam kehidupan akan hanya ada dua pilihan. Akhir kehidupan nanti, manusia juga akan dinilai dengan berdasarkan kepada dosa dan pahala untuk diletakkan dalam syurga atau neraka. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya.
  2. Sekali lagi sama-sama kita bermuhasabah bahawa Allah tidak memaksa kita mengikuti hukumnya tetapi apa yang pasti kita terpaksa menerima apa sahaja balasan berdasarkan pilihan samada mengikut arahanNya atau mengingkari arahanNya.
  3. Berbalik kepada perkara pokok, sebenarnya yang disangka kucing itu adalah sebenarnya seekor musang yang berbau busuk.
  4. Nampak asalnya musang itu macam jinak tetapi musang itu telah mengigit berdarah hati ini. 
  5. Dihulurkan salam tidak dibalasi; ditanya khabar berdiam diri; kerana hanya rasa ketidakpuashatian yang membara.
  6. Perlu pasrah ada yang tidak disukai akan mendatangi sebahagian hidup yang dilalui dalam masa-masa yang salah ; tidak diingini. Betulkah katanya serabut kepala otak? Atau sekadar hati yang tidak sihat itu mulai sakit.
  7. Samakah sakit hati atau hati yang sakit. Mana yang lebih buruk, besar kepala atau kepala besar?
  8. Dalam samar-samar itu perlu dicari cahaya menyuluh supaya musang jangan disangka kucing.

Saturday, August 20, 2011

Hidup Diteruskan

Mana bisa menahan sesuatu ketentuan yang telah ditulis oleh Sang Pencipta. Tiada berhentinya usaha untuk satu pencarian yang masih jauh lagi perjalanannya. Dalam kembara itu pasti ada yang tidak tersambung asa untuk melikukan tertib langkah perjuangan. Ada sedikit yang tidak bersih hati berburuk sangka permata itu kaca. Ada banyak yang menanguk di air keruh untuk menjala koceknya sahaja. Dah itulah ragam selagi mahkluk itu namanya manusia. Pernahkah ada kecukupannya. Patah dan capik bukan bermakna tidak boleh berdiri. Cuma langkah terasa perlahannya.

Bila kesumat peribadi melebihi kiraan hati, tersembul kata nista yang akhirnya memakan diri. Memang sukar mencari lumpur yang bersih. Mengutip butiran pasir disembur angin yang kemudiannya memedihkan mata.

Kenapa 'pemerintah' itu celik mata berbuta hati? Cakapnya berdolak dalih tegar berbohong? Nah, itukan katanya siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong kelamaanya memanglah menjadi sang pencuri.

Kembali kepada pokoknya, hidup pasti diteruskan.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Service Kerets

Published with Blogger-droid v1.7.4

Wednesday, June 8, 2011

Titik Mula

  1. Langkah permulaan yang salah akan membawa perjalanan itu sukar.
  2. Destinasi yang sama tetapi bermula dari titik mula yang salah boleh menyebabkan dua kemungkinan.
  3. Masa perjalanan untuk sampai ke sesuatu destinasi itu akan menjadi terlalu lama.
  4. Mungkin langsung tidak sampai ke destnasi yang ingin dituju.
  5. Ada juga sesuatu perjalanan itu bermula mudah tetapi berakhir payah dan sebaliknya.
  6. Carilah titik mula yang betul supaya perjalanan mudah dan sampai destinasi yang dituju.
  7. Jangan menoleh ke belakang apabila sesuatu perjalanan itu sudah bermula.

Wednesday, May 25, 2011

Apabila Sudah Aku Menjadi Ayah

  1. Wahai anak-anakku, aku bersyukur kepada Allah kerana dianugerahkan kamu semua sebagai amanah yang paling besar perlu aku galas supaya kamu menjadi insan yang dirahmati Allah. Tanggungjawab yang aku terima ini pernah ditunaikan dengan sempurna oleh datukmu biarpun keadaan dan kecukupannya berbeza atas faktor masa dan upaya.
  2. Kini apabila aku sudah menjadi ayah; aku lebih gembira melihat kamu semua membesar dalam keadaan yang amat cukup rohani dan jasmaninya. Biar dulu aku dan datukmu kurang berkata-kata dengan gurau dan senda; tapi kasihnya melimpah sebasah keringat peluhnya mencari rezeki untuk kami.
  3. Dahulu ketika aku sekecilmu, marah apabila dimarahi, dileteri dan dirotan kerana memang anak-anak nalurinya hanya bermain sahaja. Kini apabila aku menjadi ayah aku memarahi dan kadang-kadang merotan kamu kerana betul seperti kata orang tua; sayangi anak dirotan-rotankan.
  4. Wahai anak-anakku, apabila aku sudah menjadi seorang ayah, aku bersyukur kerana kamu semua sihat walafiat dan sempurna berdiri dan baringnya.Bangga melihat kamu semua bersungguh-sungguh untuk belajar dan terus akan belajar. Biarpun terkadang kamu seakan rasa terpaksa.
  5. Anak-anak aku yang tersayang, apabila aku sudah menjadi seorang ayah; aku tidak boleh memberikan dan menjanjikan kehidupan kamu di hari mendatang tapi kini boleh bersama-sama membentuk kehidupan itu bersama hari ini.
  6. Tiada apa yang lebih indah bagi seorang ayah apabila melihat anak-anaknya gembira biarpun kasih sayang dan belaian seorang ayah tidak selembut belaian ibumu.


Saturday, April 16, 2011

Pasir

  1. Macam-macam jenis pasir. Pasir laut, pasir sungai dan gula pasir. Ada yang kasar dan ada yang halus.
  2. Kesemua jenis pasir ini sekarang mahal. Sedikit membawa baik dan banyak membawa buruk.
  3. Pasir ini tidak tetap diriannya kerana ia mudah sangat berubah kerana air bah pasir berubah.
  4. Sedikit baik pasir ianya amat telus; cuma orang yang mengurusnya yang bolos.
  5. Jika banyak mengambil gula pasir, selamat datang diabetes. Selamat kembali sihat.
  6. Sekarang pasir sudah menjadi seperti emas. Pasir menjadi rebutan.
  7. Berbalah dan bergaduh kerana berbilion putir pasir itu.
  8. Ramai yang menjadi gila kerana pasir dan ada bukti yang terbunuh kerana pasir.
  9. Juga ada yang menjadikan ianya perniagaan semesta alam untuk memperdagangkan pasir.
  10. Jangan menabur pasir dalam periuk nasi orang lain.
  11. Kerana pasir juga jangan berputih mata takut nanti kita akan makan pasir.

Sunday, March 20, 2011

Triple Booster

  1. Kini masuk fasa baru dalam memberi 'reform' kepada penanda aras yang lebih realistik.
  2. Cabaran hidup yang paling besar sebenarnya bukan kerana aspek kewangan tetapi mengurus perhubungan sesama manusia 
  3. Hubungan sesama manusia ini merangkumi nilai keakraban dan keprihatinan di rumah, kejiranan, pejabat, masyarakat setempat dan juga keselurahan populasi dunia samada secara langung atau secara tidak langsung,
  4. Banyak yang tidak tahu meletakakan nilai hubungan sesama manusia adalah asas kepada kepercayaan yang tulus ikhlas. 
  5. Asas kepada hubungan yang merangkai sesama manusia ini akan mencernakan nilai-nilai kriris identiti dan seterusnya melahirkan nilai air muka yang tidak dapat digalang ganti dengan wang ringgit.
  6. Ada yang bermarahan kerana faktor-faktor ketidakpuas-hatian terhadap sikap kebiasaan yang telah sebati.
  7. Selesa yang sudah menjadi norma-norma hidup yang selama ini tidak dicabar dan dipertikaikan.
  8. Sedangkan ianya bukanlah pihak yang berhak berada di tempat itu; cuma mungkin dahulunya tiada pilihan.

mana milik kita - rabbani

Saturday, March 12, 2011

Empang-empang Alang

  1. Susah betul berurusan dengan orang yang empang-empang alang. Nak kata bersungguh macam tak juga, nak kata tidak buat apa-apa pun tidak juga.
  2. Macam air yang berlalu sahaja di daun keladi.
  3. Atau nampak kadang-kadang macam keldai pun ada juga.
  4. Sebenarnya tidak ada yang terbaik jika tiada yang buruk.
  5. Cuma kejamnya dunia yang disadur ini membuatkan yang kaya bertambah kaya dan simiskin terus merana.
  6. Politik itu terlalu nampak sangat hak milik sebahagian kecil orang tertentu; warisan keluarga turun temurun seperti resepi mak bonda,
  7. What the shut?
  8. Jangan terlalu fakir kerana boleh membawa kufur.
  9. Juga yang kaya itu pula jangan kufur nikmat,
  10. Moralnya, cubalah berurusan dengan orang yang normal, waras dan ada hati.

Friday, February 25, 2011

Buat Hal

  1. Hujan panas yang turun di tengahari hanya menaikkan haba jalan panas itu.
  2. Bila buah fikir dirincis tanpa fikir yang panjang, dangkalnya bunyi keluar berkata.
  3. Apabila ada yang bersangka buruk memikirkan orang mencuri siapa yang sebenarnya pencuri?
  4. Kembali membuat hal kerana merasakan ada pihak yang sudah dapat lebih sedangkan dia katanya kurang.
  5. Terpetarinya 'gentlemen agreement' kerana atas dasar saling percayai mempercayai, sudah kenal hati budi dan seumpamanya.
  6. Tiba-tiba ikatan itu cuba dilanggar oleh hati-hati orang yang busuk. Hanya fikir yang bukan-bukan. Mengikut kata hasad dengki bertingkat.
  7. Jangan ditumbuk dada yang remuk itu kerana mungkin ia boleh mengakibatkan maut. Luka tidak semestinya berdarah. Lari sudah pasti berpeluh.
  8. Akibat nanti, berhuma padi bertuai lalang cuma kerana terlalu percaya kepada khabar.
  9. Jangan jadi seperti kaduk; khuatir nanti gulanya sedap nasi yang mentah; mungkin juga nasi yang tanak gulai yang punah.
  10. Ingatlah jika biduk yang pecah nahkodanya mati; pasti sudah anak buah bercerai-berai.
  11. Selama kelamaan biawak tetap lidah bercabang.

Saturday, February 19, 2011

Sakit

  1. Dunia Islam dan dunia barat mempunyai pandangan berbeza mengenai penyakit.
  2. Bagi Islam, sakit adalah kurniaan Allah yang diberikan kepada hamba yang dicintai.
  3. Rasulullah saw bersabda; " Allah tidak menimpakan musibah kepada orang mukim melainkan kerana salah satu daripada dua perkara.
  4. Pertamanya mungkin dia mempunyai dosa yang hanya diampunkan dengan memberi cubaan sakit tersebut.
  5. Keduanya, dengan musibah sakit itu; jika ianya dilalui dengan penuh sabar, tawakal dan redha kepada Allah, maka darjat seseorang itu akan dinaikkan. 
  6. Dosa atas orang yang ikhlas menerima musibah sakit ini akan digugurkan, juga kesabaran menerimanya pula pasti mendapat pahala yang besar dari Allah.
  7. Pandanglah sakit dari sudut positif; ambil iktibar.
  8. Yang penting dalam hidup, jangan cari penyakit.
  9. Bagi kawan-kawan yang terlalu aktif bersukan tetapi masih lagi merokok; anda rasa anda sihat tapi sebenarnya?
  10. Sebaik-baik senaman adalah solat dan sebaik-baik diet adalah puasa.

YMCA

 

  1. YMCA bermaksud "Young Men's Christian Association ". 
  2. Di  Brickfields terdapat satu asrama/hotel bajet yang berpaksi kepada persatuan tersebut.
  3. YMCA telah ditubuh diseluruh dunia dengan keanggotan melebihi 45 juta orang daripada 125 negara.
  4. Ada orang kata YMCA adalah youth hostel bagi pelancong-pelancong backpackers seluruh dunia. 
  5. Selalu jugalah parking dalam kawasan YMCA ini apabila pergi ke pusat urut reflekslogi orang buta di Brickfields.
  6. Juga menjadi tanda tanya banyak sungguh gereja di kawasan Brickfields ini.
  7. Contohnya gereja yang membatiskan seorang gadis Melayu bernama Azlina Bt Jailani (Lina Joy) iaitu gereja Church of Our Lady of Fatima.
  8. Lihatlah bagaimana nasrani ini sentiasa cuba mempengaruhi minda kristianisasi; dilakukan serangan secara senyap.
  9. Bagi pengembara yang suka menjelajahi seluruh pelusuk dunia dan mungkin akan tidur di asrama-asrama YMCA yang berada di banyak negara, berhati-hatilah.
  10. Mengapa kurangnya perkhidmatan yang ditawarkan sedemikian ditawarkan oleh Islam kepada remajanya.
  11. Lihatlah dakwah dan penyebaran Islam yang dilakukan oleh segolongan pendakwahnya yang hanya bermalam dimasjid. Kerana apa? Sama-sama kita mengambil iktibar.

40 Hadis Akhir Zaman - Hadis 14

Hadis 14 - Dimana punca kebinasaan seseorang?

Diriwayatkan oleh Baihaqi:-

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah saw bersabda: "nanti akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman ini telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah. Oleh itu, kelak terjadinya peristiwa ini, seseorang itu akan binasa apabila dia meningkari Allah dengan hanya menepati kehendak isteri dan anak-anaknya; Kalau tidak beristeri atau mempunyai anak, binasa itu disebabkan hanya menuruti kehendak kedua orang tuanya, jika orang tuanya sudah tiada, seseorang itu akan binasa apabila ia juga hanya menepati kehendak adik-beradik dan kerabatnya atau juga menuruti kehendak jiran tetangganya". Sahabat bertanya, " Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan engkau itu yang menyatakan kebinasaan seseorang kerana isteri atau anak atau orang tua atau ibu bapa atau adik beradik atau jiran tetangga)?. Nabi saw menjawab, " Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan hidup. Maka disebabkan seseorang ingin mencapai maksud tersebut, dia akan memaksa dirinya melayan kehendak mereka itu, dengan membawa seseorang itu menceburkan dirinya di jalan-jalan kebinasaan yang dimurkai Allah dan seterusnya akan hancurlah hidupnya kelak.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah saudara sekelian dalam memilih jalan kehidupan supaya ianya nanti akan diberkati dan dirahmati Allah.

Kaca Tidak Akan Menjadi Permata

  1. Dunia semakin carca-marba. Kaca yang berkilau itu dikatakan permata. Sedangkan delima yang kotor itu dikatakan kelikir.
  2. Biadap dan derhaka dipuji orang sedang baik bersopan disisihkan.
  3. Payah sungguh mencari ketulenan dalam semua aspek; mungkin sudah banyak sangat kesan 'lanun' dan 'lintah' yang memalsukan kebenaran.
  4. Kepalsuan ini telah menzahirkan situasi seperti meletakkan permata di pangkur.
  5. Bermaksud tidak meletak orang yang sepatutnya ditempat tersebut.
  6. Pengemudian arah musafir memerlukan nahkoda yang tahu membaca mata angin, susur galur samudera, lapar dahaga pendayung dan lain-lainnya.
  7. Jangan menepis isu berbangkit dan akhirnya kebuntuan yang menjadi alasan.
  8. Curiga dan berburuk sangka, hasad dengki semuanya datang dari hati kotor yang dinodai syaitan.
  9. Untuk merasakan kecukupan lihatlah sesuatu yang dibawah atau lebih rendah kerana sesuatu yang diatas atau lebih tinggi membuatkan kita tidak akan merasa cukup sampai bila-bila.
  10. Juga apa yang dialami sekarang umpama permata dibalas senjata.

Monday, February 14, 2011

Buang yang keruh

  1. Seusianya membuang yang keruh dari sebahagian kehidupan juga satu perjuangan.
  2. Perlu ada batas usia dan masa agar dapat dibuang yang keruh itu sedikit demi sedikit ataupun secara sekaligus.
  3. Perjuangan untuk membuang yang keruh itu juga perlu dilakukan secara istiqamah dan bukan mengikut keadaan dan masa tertentu supaya ianya tidak akan berulang dan berulang.
  4. Adalah menjadi kegembiraan apabila sesuatu yang keruh  itu dicanangkan.
  5. Ambillah tindakan sekarang untuk membuang yang keruh itu supaya keruh itu tidak terus menerus membawa kepada kegelapan.
  6. Perlu kita mendapat hidayah Allah dan hidayah itu perlu dicari.
  7. Hanya dengan hidayahNya kita akan mendapati bahawa setiap kegelapan itu ada cahaya penerangnya.
  8. Ya Allah kau terangilah hati kami dengan nikmat hidayahMu supaya yang gelap itu menjadi terang yang keruh itu menjadi jernih.
  9. Ampunilah dosa-dosa kami atas perbuatan melampaui batas kami selama ini.

Monday, February 7, 2011

Mencintai Muhammad




Tiada cinta yang lebih hebat selain cinta kepada Allah dan Rasulullah.

Wednesday, February 2, 2011

Bala

  1. Nah sekarang kebetulan banjir sedang melanda Johor dan Melaka.
  2. Ada suara-suara yang mengatakan berlakunya bah kali ini kerana bala turun dari Allah.
  3. Mengapa suka kita melihat musibah yang berlaku dengan terlalu meletakkan mudarat ini hanya sebagai suatu bentuk hukuman semata-mata.
  4. Lihatlah dari pandangan positif bahawa sesuatu itu berlaku untuk dijadikan pengajaran dan peringatan.
  5. Bala itu berlaku dengan keadaan yang tidak mengira baik buruk seseorang; rendah juga tawaduk umat ditempat tersebut.
  6. Memang agama dan politik tidak dapat dipisahkan tetapi minda kita terserang untuk memutuskan hukuman atas dasar kepartian.
  7. Kembalilah kita menilai tindak-tanduk yang telah kita ambil dalam menguruskan alam persekitaran; pembangunan yang melampau telah memberikan kemusnahan eko-sistem yang sebelum ini menjadi alat penahan banjir.
  8. Bukit-bukau juga telah rakus diratakan; kadar serapan air oleh pokok hijau juga berkurangan digantikan dengan dinding-dinding perumahan baru.
  9. Sama-sama kita bermuhasabah dan kembalilah kepada Allah.
  10. Jangan mudah meletakkan hukuman keatas sesuatu yang sama-sama melanda kita.

Friday, January 21, 2011

Ingatan Allah untuk Orang Yang Berumur Empat Puluh Tahun


Mengambil iktibar, Firman Allah dalam Surah Al-Ahqaf ayat 15; maksudnya.

“Kami peintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah pula. Mengandungnya sampai menyusuinya selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia dewasa dan umurnya sampai empat  puluh tahun dia berdoa : "Ya Allah tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan memberi kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk kepada orang-orang yang berserah diri".

Thursday, January 20, 2011

40 Hadis Akhir Zaman - Hadis 13

Hadis 13 - Orang yang Baik Berkurangan dan Bertambahnya Orang Jahat

Diriwayatkan oleh Thabrani :-

Daripada Aisyah r.a. berkata "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; " Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya dan hujan akan menjadi panas (berkurangnya hujan dan cuaca menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik".

Lihatlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah ini telah berlaku dengan banyaknya dalam kehidupan masyarakat hari ini. Anak-anak telah menjadi terlalu melampaui batas; ibu bapa telah dijadikan tempat melepaskan kemarahan. Orang tua dipukul, ditengking, diherdik, dimaki dan berbagai lagi.

Dimana nilai-nilai baik seorang anak? Juga dari anak-anak yang derhaka ini melahirkan pula orang-orang jahat. Semakin hari orang jahat lebih ramai daripada orang baik.

Oleh itu sama-sama kita berdoa supaya Allah akan memberi perlindungan kepada kita dan anak cucu kita supaya mereka akan sentiasa mendapat hidayah Allah. Tanpa hidayah dan rahmatNya siapalah kita ini?

Kejam Celik Kejam Celik


Kejam celik kejam celik dah masuk empat tahun si cute ni. 
Kejam celik kejam celik bapanya pula akan mengakhiri umur yang depannya tiga pada tahun ini.
Kejam celik kejam celik tahun hadapan usia bapa budak ini akan dimulai dengan angka empat.
Kejam celik kejam celik rasanya kuota empat tidak akan terpakai dan berakhir sahaja begitunya.
Syukur kepada Allah; yang satu ini ada pun adalah yang terbaik.
Kejam celik kejam celik rambut semakin putih; sedangkan pemutihan hati akan memakan masa.
Kejam celik kejam celik kaya dunia pasti tidak dapat dipenuhi kerana ia tidak akan pernah cukup; melangkahlah untuk mencukupi bekalan akhirat.
DAN SEBENARNYA; kita tidak punyai pilihan selain kembali kepada Allah; memohon ampun dan rahmatNya untuk masuk hanya ke syurga dan bukannya neraka jahanam.

Masonic Hall Di Jalan Junid Muar


Masonic Hall ada di Muar. Lokasinya selekoh sebelum sekolah Maahad Muar. APA SEBENARNYA?

Koleksi Kereta Kecil Untuk Orang Dewasa 18sx








Sunday, January 16, 2011

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman - Hadis 12

Hadis 12 - Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit

Diriwayatkan oleh Bukhari Muslim

Daripada Huzifah bin Al-Yaman r.a. katanya; Rasulullah SAW pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang berlaku). Yang pertama sudah saya lihat ;  sedangkan yang kedua saya sedang menanti-nantikannya. Rasulullah SAW memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah Al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui Sunnah. Selanjutnya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah. lalu beliau bersabda, "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari hatinya, kemudian tertingallah bekasnya seperti bekas ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilingkan dengan kakimu, kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa". Di ketika Rasulullah SAW menceritakan hadis ini baginda mengambil sebiji batu kerikil dan seterusnya mengilingkannya dengan kakinya.

"Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai yang berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan bani fulan (dikampung tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, "Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya, Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi."

"Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak memperdulikan manakah diantara kamu semua yang saya hendak bermubaya'ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepada ku (maksudnya agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang nasrani atau yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan mengembalikannya kepada ku (maksudnya jia dia seorang nasrani atau yahudi maka orang yang memegang kekuasaan/pemerintahanlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan fulan dan fulan (orang-orang tertentu sahaja).

Hadis ini menerangkan bahawa sifat amanah akan hilang sedikit demi sedikit dari kalangan kaum muslimin sehingga orang yang jujur menjaga amanah dikatakan khianat amanah.

Dewasa ini ramai yang telah curang atas amanah yang diberikan kepercayaan kepadanya kerana adanya kepentingan peribadi. Tanyalah pemimpin politik sekarang. Tanya juga ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan akan khianat mereka terhadapa amanah yang telah diberikan.

Mohon perlindung dari Allah supaya kita diberikan perlindungan daripada sikap khianat amanah ini.

Saturday, January 15, 2011

QASIDAH MUHAMMADIAH...

Pesan Untuk Remaja 01 - Waktu itu Kehidupan

Sebahagian daripada nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya:-

Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah daripada hamba apabila ia mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan tujuan hidupnya untuk beribabadat kepada Allah maka layaklah bahawa penyesalannya yang panjang pada hari kiamat dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.

Saturday, January 8, 2011

Sorok

  1. Mutakhir ini bekalan barang makanan tidak cukup kerana ada yang kata harganya nak naik.
  2. Ada yang kata pembekal tidak mengeluarkan bekalan yang secukupnya.
  3. Juga tidak kurang yang membuat fakta pihak pemborong atau peruncit sengaja menyorokkan barang supaya harga akan naik; mengikut teori mudah ekonomi bekalan kurang permintaan tinggi; harga kan naik.
  4. Fakta terpenting ialah kedua-dua pihak pemerintah atau kerajaan tidak bagus kerana mereka sorok perkara sebenar kepada rakyat.
  5. Apa yang diberitahu kepada rakyat adalah sesuatu yang telah dimanupulasi. Ada yang telah dikosmetikan supaya nampak yang baik-baik sahaja.
  6. Ingatlah bila pilihanraya nanti, rakyat akan sorok undi.




Video Motivasi S3 - TEGAR.mpg

Thursday, January 6, 2011

Tips Sihat Mengikut Sunnah 5 - Jagalah Pergerakan Anggota & Sendi

Pergerakan anggota-anggota badan dan sendi-sendinya perlu dikawal supaya ianya tidak berada dalam keadaan yang tidak ergonomik untuk masa yang lama. Ia boleh memberikan kerosakan kepada sendi. Juga dalam waktu yang sama anggota badan boleh terkehel, tulang boleh patah, tulang retak dan lain-lain gangguan kepada anggota badan.

Pergerakan yang tidak terbatas itu juga boleh membuatkan gerakan yang berlebihan akan merosakkan otot, rawan dan lebih seriusnya ianya boleh merosakkan saraf. Apabila kerosakan terus menerus berlaku, ianya boleh mengakibatkan pembengkakan jantung. Lalu gangguan ini akan menyebabkan ketidaklancaran sistem pernafasan.

Dengan sebab itulah pergerakan dalam solat merupakan satu aktiviti senaman terbaik bagi membentuk serta memberikan latihan gerakan, bukaan dan tekanan yang baik untuk anggota badan dan sendi.


Segenggam tabah

Wednesday, January 5, 2011

Man Jadda Wajada

  1. Man Jadda Wajada; Sesiapa yang bersungguh-sungguh pasti berjaya.
  2. Membuka satu lembaran baru supaya usaha perlu diteruskan dengan lebih gigih.
  3. 2010 telah memberikan satu pengajaran penting bahawa kesihatan itu tidak ternilai. Kesihatan itu tidak oleh dibeli walau mempunyai wang berjuta ringgit.
  4. Ia juga mengajar betapa dalam saat diuji berapa ramai sahabat dan taulan yang berkongsi susah.
  5. Sakit bukan sesuatu yang diminta, dikehendaki dan didoakan.
  6. Sayugianya dalam sakit samada kesihatan atau ekonominya; pasti terlihat rakan-rakan mulai menyisihkan akrab.
  7. 2010 juga mengajar bahawa jangan bergantung kepada mahkluk kerana sesungguhNya hanya kepada Allah sahaja kita berharap.
  8. DUIT; doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal. 4 prinsip mudah hidup.
  9. Mencari rezeki yang halal itu sebahagian daripada ibadah dan setiap niat yang baik pasti akan diberikan ganjaran yang sewajarnya.
  10. Memberikan kepercayaan kepada orang yang kurang dipercayai merupakan salah satu dari bentuk ujian yang getir.
  11. Ya Allah kau permudahkan segala urusan kami; berikan hidayah dan taufikMu , limpahi kami nikmat dan barakahMu.
  12. Ya Allah, sesungguhnya ujian yang kamu berikan itu dalam sekadar kemampuan yang dapat kami tanggung dan janganlah diperberatkan kami dengan sesuatu yang tidak mampu kami jalani.
  13. Ya Allah hanya kepadaMu kami berserah. Lindungi, pelihara dan berikan kami sesebaik perlindungan.

Tuesday, January 4, 2011

Kembali Berblog 2011

  1. Selamat datang 2011 dan 2010 pergi meninggalkan banyak kenangan.
  2. Tidak pernah sebelum ini masuk wad kecuali kena chicken pox semasa minggu silaturahim ITM Disember 1990. 
  3. Tetapi pada 2011 tiga kali masuk wad. Penuh dengan suspen.
  4. Lebih 7 kali kena buat ujian darah.
  5. Setip 2 bulan kena ambil stok ubat.
  6. 2010 tahun penuh cabaran. Ada betulnya kata orang-orang terdahulu. Jangan berakan kongsi dengan 'orang' dari ini kerana luhurnya kurang.
  7. Harapan semoga 2011 akan menjadi lebih baik terutamanya mutu kesihatan.