Buat seorang sahabat. Anda seorang yang hebat. Antara kita banyak beza, cuma ada beberapa perkara yang ada kesamaannya.
Pertama, hari lahir kita jatuh pada tarikh yang sama. Tidak pernah direncana apa lagi disusun cara. 19 Oktober 1972, di tempat berbeza dua orang ibu yang amat disayangi telah melahirkan putera-putera untuk mengalas harapan keluarga. Juga kini kedua orang putera ini telah pun kehilangan permata hati yang tiada golok-gantinya. Wahai ibu-ibu yang tercinta, semoga Allah mengampun dan merahmatimu ibu....39 tahun yang lalu, suara tangis bayi yang kau lahirkan itu telah memecah hening hari. Benih kasih sayang yang disemai olehmu sudah pun mengeluarkan bunga mewangi. Akar-akar pohon sudah bercambah menjadi satu pokok kuat. Al Fatihah buat kedua-dua ibu tercinta, sembilan bulan kesusahan membawa kandungan dan waima setitik susumu pun tidak dapat anak-anakmu ini membalasinya.
Kedua, kita datang dari daerah yang sama dan latar keluarga yang bukan berada. Kita hampir buktikan kaya harta bukan menjadi penghalang untuk membina sebuah kehidupan yang lebih bermakna. Kita bawa rimbunan kasih yang memberikan teduhan untuk sebuah lagi kehidupan yang akan datang.
Ketiga, kita pernah membina bersama semangat untuk mencintai agama dan bangsa sewaktu di usia jiwa yang sentiasa dilekakan oleh pendatang yang hanya menunggu masa 'membeli' pusaka tercinta. Masa itu kita marah sungguh kepada mereka-mereka itu, dan kini kemarahan itu tidak berhenti disitu. Perjuangan yang membara harus dihidupkan seperti api di dalam sekam. Katakan kepada mereka-mereka; sopan kita ada batasnya.
Keempat kita telah dididik di satu tempat yang banyak mengajar kita bahawa semua orang boleh berjaya. Dan ketika itu, ia telah menunjukkan bahawa setiap orang perlu diberi peluang kedua. Tempat ini telah melahirkan ramai yang berjasa. Tempat ini memberikan tongkat untuk kita bangun, berjalan dan berlari dengan penuh yakin.
Wahai sahabat, bersama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Ya Allah tetapkanlah kami ke jalan yang lurus, janganlah kau pesongkan kami setelah kau berikan petunjuk. Ampunilah dosa-dosa lampau kami. Berkatilah usia kami. Dan rahmatilah kami. Ya Allah, kau ampunkan dosa ibu dan bapa kami, kasihanilah mereka sepertimana mereka memberikan kasih kepada kami sewaktu kami kecil hingga dewasa.
Sahabatku, selamat hari lahir. Angka tiga dihadapan semakin mencemburui kita. Empat dihadapan menunggu pula. Insya Allah.
Published with Blogger-droid v1.7.4
2 comments:
Terima kasih sahabat ku. Menitis air mata ku membaca nukilan yg indah ini. Moga kau semakin sihat hendaknya.
Suatu hari nanti kita akan lihat bangsa kita bersatu kembali, berjuang atas jalan Allah swt, tidak kira dimana di serata pelusuk dunia tanpa gentar, segala petualang akan di hapuskan, negara makmur rakyat bersatu, kita berjuang dgn cara kita sendiri demi warisan tercinta ini.
Mudah-mudahan kita diberi kesempatan utk menyumbang melihat kebangkitan utk kali terakhir melihat bangsaku sisanjung. Amin-amin Ya Allah
dari sahabat untuk sahabat, semoga tali silaturahim tetap terjaga.amin
http://sidocity.blogspot.com
Post a Comment