Showing posts with label 40 Hadis Akhir Zaman. Show all posts
Showing posts with label 40 Hadis Akhir Zaman. Show all posts

Saturday, February 19, 2011

40 Hadis Akhir Zaman - Hadis 14

Hadis 14 - Dimana punca kebinasaan seseorang?

Diriwayatkan oleh Baihaqi:-

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah saw bersabda: "nanti akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali apabila dia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain dan dari suatu lubang kepada lubang yang lain. Maka apabila zaman ini telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah. Oleh itu, kelak terjadinya peristiwa ini, seseorang itu akan binasa apabila dia meningkari Allah dengan hanya menepati kehendak isteri dan anak-anaknya; Kalau tidak beristeri atau mempunyai anak, binasa itu disebabkan hanya menuruti kehendak kedua orang tuanya, jika orang tuanya sudah tiada, seseorang itu akan binasa apabila ia juga hanya menepati kehendak adik-beradik dan kerabatnya atau juga menuruti kehendak jiran tetangganya". Sahabat bertanya, " Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan perkataan engkau itu yang menyatakan kebinasaan seseorang kerana isteri atau anak atau orang tua atau ibu bapa atau adik beradik atau jiran tetangga)?. Nabi saw menjawab, " Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan hidup. Maka disebabkan seseorang ingin mencapai maksud tersebut, dia akan memaksa dirinya melayan kehendak mereka itu, dengan membawa seseorang itu menceburkan dirinya di jalan-jalan kebinasaan yang dimurkai Allah dan seterusnya akan hancurlah hidupnya kelak.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah saudara sekelian dalam memilih jalan kehidupan supaya ianya nanti akan diberkati dan dirahmati Allah.

Thursday, January 20, 2011

40 Hadis Akhir Zaman - Hadis 13

Hadis 13 - Orang yang Baik Berkurangan dan Bertambahnya Orang Jahat

Diriwayatkan oleh Thabrani :-

Daripada Aisyah r.a. berkata "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; " Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya dan hujan akan menjadi panas (berkurangnya hujan dan cuaca menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurang orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik".

Lihatlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah ini telah berlaku dengan banyaknya dalam kehidupan masyarakat hari ini. Anak-anak telah menjadi terlalu melampaui batas; ibu bapa telah dijadikan tempat melepaskan kemarahan. Orang tua dipukul, ditengking, diherdik, dimaki dan berbagai lagi.

Dimana nilai-nilai baik seorang anak? Juga dari anak-anak yang derhaka ini melahirkan pula orang-orang jahat. Semakin hari orang jahat lebih ramai daripada orang baik.

Oleh itu sama-sama kita berdoa supaya Allah akan memberi perlindungan kepada kita dan anak cucu kita supaya mereka akan sentiasa mendapat hidayah Allah. Tanpa hidayah dan rahmatNya siapalah kita ini?

Sunday, January 16, 2011

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman - Hadis 12

Hadis 12 - Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit

Diriwayatkan oleh Bukhari Muslim

Daripada Huzifah bin Al-Yaman r.a. katanya; Rasulullah SAW pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang berlaku). Yang pertama sudah saya lihat ;  sedangkan yang kedua saya sedang menanti-nantikannya. Rasulullah SAW memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah Al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui Sunnah. Selanjutnya Rasulullah SAW menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah. lalu beliau bersabda, "Seseorang itu tidur sekali tidur, lalu diambillah amanah itu dari hatinya, kemudian tertingallah bekasnya seperti bekas ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (mengelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilingkan dengan kakimu, kemudian mengelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa". Di ketika Rasulullah SAW menceritakan hadis ini baginda mengambil sebiji batu kerikil dan seterusnya mengilingkannya dengan kakinya.

"Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai yang berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan orang bahawasanya di kalangan bani fulan (dikampung tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, "Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya, Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekali pun hanya seberat timbangan biji sawi."

"Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak memperdulikan manakah diantara kamu semua yang saya hendak bermubaya'ah (berjual beli). Jikalau ia seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepada ku (maksudnya agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat). Dan jikalau ia seorang nasrani atau yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang akan mengembalikannya kepada ku (maksudnya jia dia seorang nasrani atau yahudi maka orang yang memegang kekuasaan/pemerintahanlah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semua hak-hak ku daripadanya.) Ada pun pada hari ini maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan fulan dan fulan (orang-orang tertentu sahaja).

Hadis ini menerangkan bahawa sifat amanah akan hilang sedikit demi sedikit dari kalangan kaum muslimin sehingga orang yang jujur menjaga amanah dikatakan khianat amanah.

Dewasa ini ramai yang telah curang atas amanah yang diberikan kepercayaan kepadanya kerana adanya kepentingan peribadi. Tanyalah pemimpin politik sekarang. Tanya juga ketua-ketua syarikat berkaitan kerajaan akan khianat mereka terhadapa amanah yang telah diberikan.

Mohon perlindung dari Allah supaya kita diberikan perlindungan daripada sikap khianat amanah ini.

Saturday, December 25, 2010

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman - Hadis 11

Hadis 11 - Rasuah Berleluasa

Diriwayatkan oleh At Thabrani dan Abu Naim


Daripada Muazd Bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; " Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian, akan tetapi apabila ia menjadi rasuah dari segi agama janganlah pula diambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak dapat meninggalkan rasuah  kerana kamu khuatir akan fakir dan kamu juga amat berhajat untuk mengambilnya.

Lihatlah pada akhir zaman ini, rasuah menjadi satu isu besar yang sukar untuk dibendung. Pemberi dan penerima rasuah menjual agama demi untuk kepentingan peribadi, kekayaan dan kedudukan. Wang telah disembah melebihi agama kerana kerakusan dan ketamakan. 

Berbagai-bagai langkah diambil, kempen kesedaran, penguatkuasaan dan sebagainya, tetapi rasuah tetap menjadi-jadi. Samada diperingkat bawahan hingga atasan, kepimpinan kecil hingga ke kepimpinan negara, rasuah menjadi budaya.

Sebab utama rasuah kerana berlakunya kemelesitan iman yang teruk dalam setiap individu.

Hapuskan rasuah.

Wednesday, December 22, 2010

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman - Hadis 10

Hadis10 - Bahaya Kemewahan

Diriwayatkan oleh Tirmizi :- 

Diriwayatkan daripada ali bin Abi Thalid r.a.; "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW didalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada diatas badannya kecuali hanya sehelai selandang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah SAW melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan airmata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segla harta benda dan kekayaan di Mekah).

Kemudian Nabi Muhammad SAW bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. 

Dan kau menutupi (menghias) rumah kau seperti mana kamu memasang kelambu Kaabah?"

Maka jawab sahabat, ' Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi SAW bersabda, "Tidak! Keadaan kamu dihari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hati itu".

Kesimpulan dari hadis ini bermaksud bahawa walaupun di masa ini umat manusia akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan akan tetapi Nabi SAW mengatakan keadaan serba kekurangan itu lebih baik untuk kita, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari beribadat. Manusia hari ini terlalu sibuk menghimpun harta dan mengejar kekayaan sehingga menemui kematian.