Wednesday, March 10, 2010

Haba Akhir Dari Tangan Seorang Ibu (Re-edit From Pusing to Jempol 2)


Trut...trut...…bunyi handphone. "Bang datang wad sekarang mak tengah tenat". Zuppp……berderau darahku. Tapi aku kuatkan juga langkah ini. Masya-Allah, sejuk badan aku. Terasa dah sampai masanya.

"Bismillahirrahma nir rahim..Yasin.." Aku gagahkan juga membaca Surah Yasin biarpun detik dan ketika itu tidak dapat digambarkan . Semakin lama aku melihat mata mak; dah semakin diam. Nafasnya semakin laju. Sebak aku pun makin terasa. "Kita ni kalau orang dengki kepada kita janganlah kita berdendam. Redha dan tawakallah dengan Allah anakku." Pesan emak semasa kami berniaga buah-buahan dahulu; selalu sahaja abah di dengki oleh orang kampong. Mual aku kadang-kadang tengok perangai orang kampong ni. Sampai akhirnya membuatkan emakku membuat keputusan untuk berpindah sahaja untuk balik semula ke kampungnya; Simpang Jeram.


"Abah bukan marah kamu tapi kalau beginilah perangai kamu; besar nanti tak tahulah." Itulah ungkapan yang biasa diucapkan setiap kali dia memarahiku. Zahirnya; tidak pernah diraut wajahnya menunjukkan kasih sayang kepadaku tetapi rupanya dihati seorang ayah; tugas utama bagi memberikan kasih sayang kepada anak adalah memastikan nafkah makan minum, persekolahan, rumah, baju dan sebagainya dapat dibekalkan setiap masa. Pada setiap masa komunikasinya adalah terlalu mendatar. Ramah mesranya tidak seperti yang ditunjukkan kepada orang lain.

"Ya Allah kau ampunilah dosaku kepada ayahku kerana bersangka buruk terhadapnya semasa dia membesarkan anak-anaknya yang nakal ini. Rupa-rupanya bukan sengaja dia sepertinya lokek; tetapi semuanya bersebab.

Abah tak tahu aku pernah cilok duit dia pasal dia lokek sangat. Kalau aku minta duit kepadanya semuanya nak kena 'justified' dan selalu alasannya belum masa lagi. Dan sudah tentu tidak dapat akhirnya.

Nah sekarang aku tahu apabila kita menjadi seorang ayah bukan semua kehendak anak kita perlu kena ikut. Betullah sayang bini tinggal-tinggalkan; sayang anak kena bedok. Budak-budak hari ni naik tocang pasal tak boleh kena rotan.


Aku rapatkan mulutku kat cucur telinga mak. Ikut saya mak ....perlahan-lahan…mengucap Ashaduallah Illah Ha illa  Allah..  masa itu aku tengok matanya berkelip-kelip. Terputus-putus suaraku dalam sebak yang perlahan. Pergilah egonya seorang lelaki ketika itu membiarkan sahaja air mata jernih itu bertitisan. Sesekali ada juga titis-titis airmata itu yang jatuh dimukanya. Kerdipannya mengikut sebiji-sebiji sebutan kalimah azimat yang aku bisikkan itu. Ya Allah…...apakah ini saatnya ….aku redha dengan ujianMu Ya Allah…….Kehilangan harta benda boleh dibeli dan diganti tetapi hilangnya seorang ibu …......tiada gantinya.


"Mak saya minta ampun dan maaf dengan mak. Biarpun semasa itu dia tidak lagi menunjukkan sebarang reaksi. Tidak seperti masa sihatnya yang selalu berkata kepadaku; 'kamu ni....." "Emak; halalkan semua makan minum saya ; saya degil dan tidak mendengar cakap mak. Saya banyak pentingkan diri saya. Saya sombong. Tidak dapat saya membalas setiap kasih yang emak curahkan. Saya terlalu berhutang budi kepada emak. Lebih-lebih lagi susumu yang tiada tolok bandingnya…Saya tidak puas lagi hendak berkongsi sebahagian daripada rezeki yang Tuhan beri bersamamu.

Selalu kau berlapar memastikan kami anak-anakmu sentiasa kenyang. Selalu kau menadah muka dan telinga untuk dimarahi oleh ayah demi menyampaikan permintaan anakmu. Dapat atau tidak bukan matlamatnya; sememangnya kau sentiasa mencuba untuk anak-anakmu.

Tapi begitulah suratannya; ini semua pinjaman sahaja dan sampai masanya perlulah dipulangkan kepada yang empunyaNya.


Ya Allah kau kasihanilah kedua ibu bapaku sepertimana mereka mengasihiku dari kecil hingga dewasa.  Ampunilah dan rahmatilah mereka berdua."



Apalah mamat tu dah tua-tua pun mak dan ayah datang hantar makan? Kataku dan sahabat-sahabatku melihat perlakuan seorang 'junior'. Itulah emak dan ayah….tak lalu makan ingat anak-anaknya? Tak senang hatinya memikirkan makankah anak-anaknya? Sihatkah dia?

Bukan macam anak-anak bila sudah bekerja mana hendak ingat mak dan ayah. Berapa kerapkah kita bertanya khabar mereka? Panaskah telefon bimbit kita setiap hari menelefon mereka? Oh! kawan; mana perginya kasih sayang kita?

Nah baru aku nampak nilai dan erti satu pengorbanan. Harapan dan sokongan berterusan dari ayah dan ibu untuk melihatnya anaknya dapat membesar sebagai seorang 'orang'. Bukan pasal benda yang hendak diisi dalam perut itu sahaja. Tapi kelazatan rohani yang tak tidak berbau dan tidak dapat dirasai itu tidak mudah datang  membuka seleranya. "

Mak…..mengucap mak…Ombak dadanya semakin besar. Jam masa itu kurang lebih pukul 2.00 pagi. Bergilir-gilir aku baca Yasin. Jangan sampai ada yang berhenti. Aku pesan kat adik-adikku…masing-masing berbisik dekat telinga mak meminta ampun dan maaf. Aduh apalah kiranya jika kesempatan meminta ampun itu tidak dipergunakan.  Masanya semakin suntuk. Apa-apa jadi kita terima dan reda. "Bang aku rasa baik kau pergi ambil nenek …agar dapat mak menghembuskan nafasnya didepan ibunya. Gegas aku dibuatnya agar sentiasa dapat menggenggam tangan makku. Itulah haba terakhir dari tangan seorang ibu.

…."Nenek saya nak membawa nenek pergi ke hospital..emak sedang tenat." Dia hendak pergi dengan ibunya disisi kataku. Dan sesampainya kami kembali ke hospital itu sekitar pulul 3.30 pagi..sebujur kaku seorang emak sedang menanti ibunya datang juga.

Blogged with the Flock Browser

No comments: