Tuesday, January 20, 2015

Tergelincir

Musafir hampir sampai destinasinya
Biarpun masih jauh nak dituju
Yang fana ini pasti menuju abadi
Akan tapi kaki ini sudah longlai
Hati sudah lesu
Langkah mulai sesak
Seakan roda sudah gelincir

Mahu tunggu apa lagi wahai jiwa
Jangan dikuburkan jasad tanpa iman yang jitu
Budi tetap dikenangi
Dalam marah ada sayang
Antara cemburu masih kasih bertaut sembunyi

Adakah tewas satu juang
Kubu mulai runtuh
Musuh sudh jauh mara
Seterang langit  bertukar mendung menggelap
Sinar mentari mulai malu untuk benderang
Bayangan sudah hampir hilang









Wednesday, January 14, 2015

Tabahkan hati kuatkan semangat

Wahai anakku, saat ini hati ini kami sekeluarga penuh berduka. Kami rasa anakanda pun begitu juga. Hampir 12 tahun semua nampak di depan mata, bangun pagi sentiasa berada disisi. Teman minum dan makan, rakan untuk berborak-borak tentang apa sahaja. Kurang seorang penyokong tegar Arsenal. Anakanda rupanya memang agak sukar juga berpisah dengan perkara yang kita sayang. Ini bukan soal manjakan diri tapi ini adalah nukilan dari rohani.

Wahai anakku, ayah bermohon semoga keputusan ini adalah tepat untuk mendapatkan anakanda latihan dan persediaan untuk hidup berdikari. Untukmu merasakan bahawa dalam kehidupan memerlukan pengorbanan. Kita perlu melepaskan sedikit keselesaan untuk menghadapi hidup yang lebih cekal. Kami fahami bahawa umur 13 tahun adalah umur masih lagi untuk bermanja hati. 

Wahai anakku, jangan sekali tersemat dihatimu bahawa kami sudah tidak lagi menyayangimu. Bukan kami sengaja membuatkan kamu merasai seperti sudah tidak mahu kamu tingggal bersama-sama kami. Perkara ini membuatkan kami fahami bahawa dalam buah fikir dan hatimu itu ada talian kasih sayang yang amat tinggi kepada kami semua.

Wahai anakku, pasti suatu hari nanti kau akan mengerti. Kami akan tabahkan hati dan anakanda pula kuatlah semangat. Abang Ammar anak yang baik dan kuat.

Monday, January 12, 2015

Penilaian Manusia

Alhamdulillah. Masih dipinjamkan nyawa oleh tuan punya dunia dan akhirat ini. Banyak yang telah berlaku membuat sejenak berfikir bahawa jahatnya duniawi ini menipu supaya kita tidak bersedia untuk ke akhirat. Kosong, kosong dan banyak kosong. Iftitah dan masih lagi akujanji yang palsu. Masih seperti tahun- tahun lampau.

Tidak mungkin masa boleh diundur untuk mengubah beberapa kesilapan percaturan kerana salah satu ciri hidup adalah membuat kesilapan. Ambillah iktibar dari kesilapan itu supaya tidak ianya akan berulang.

Mata hati dan mata kepala biasa memandang dari sudut yang berbeza. Cantik di mata belum tentu cantik di hati. Baik dimata mungkin buruk dihati. Cukup dan puas tidak terbatas kerana nafsu akan berkata mana mungkin bersederhana itu sempurna.

Penilaian manusia nampak celanya kerana sudut dilihat tidak sekata. Redhalah kerana isebahagian dari qada dan qadar Ilahi.

Wednesday, January 7, 2015

Berhentilah merokok sahabatku

  1. Salam penuh kasih sayang buat sahabat semua. Anda merokok. Saya jua pernah merokok. 
  2. Suatu ketika dahulu memang rasa sungguh payah untuk berhenti merokok ini. Keliru atau dikelirukan.
  3. Pada masa itu rokok katanya menjadi sumber inspirasi dan teman yang paling sejati. 
  4. Rokok juga menjadi penyaman udara ketika berpagian di dalam tandas. 
  5. Anda seorang perokok. Mitos pertama, katanya anda akan mudah mendapatkan teman dan taulan. 
  6. Mitos kedua, bagi sang pujangga; rokok sentiasa terketip dibibir menghiasi kuntum senyum yang cuba menyembunyikan sebuah duka. Hembusan asap-asap rokok itu seolah-olah enzim yang dapat membantu meredakan segala permasalahan yang ada.
  7. Mitos ketiga; ramai mula merokok bagi membuktikan bahawa jikalau hendak menjadi lelaki dewasa anda perlu merokok. Cercanya hanya budak 'nerd' sahaja yang tidak merokok. 
  8. Mitos keempat; jika mahu menjadi golongan keras dan dipandang hebat anda perlu merokok.
  9. Saya pohon sahabat yang tercinta imbau kembali, sudah berapa lamakah anda mulai merokok? Jangan ditanya tentang duitnya kerana si perokok akan bertanya kembali berapa pulak banyak simpanan engkau wahai orang yang tidak merokok?
  10. Wahai sahabatku sekelian, kita bisa punyai wang yang cukup untuk membeli baju, makan, percutian, riadah, golf, kereta cantik dan rumah besar. Kita syukur Tuhan beri semua nikmat itu seolah Tuhan makbul dan perkenankan doa-doa yang kita panjatkan.
  11. Sebenanya kita agak lupa tentang nikmat kesihatan yang tiada nilai wang ringgitnya. Ingatlah rokok itu punya penyakit. Marilah ambil kesempatan ini untuk berhenti membeli dan menghisap rokok. 
  12. Semoga kita semua akan menjadi ahli-ahli syurga. Insha Allah.

Monday, January 5, 2015

Cuci Jantung

  1. Sejak kebelakangan ini dada rasa sungguh berat. Macam ada sesuatu yang terbakar.
  2. Minggu lepas ada rasa berdenyut-denyut. Pergi buat bekam di kampung.Ikhitiar untuk mengurangkan rasa sakit di dada.
  3. Masya Allah. Dalam 20 point bekam tu, ada beberapa tempat yang sungguh pekat darah yang dikeluarkan. Macam cincau.
  4. Tempat-tempat yang parah adalah di sekitar jantung. Banyak, pekat dan hitam bekuan-bekuan darah yang disedut keluar.
  5. Selepas bekam; keluar sahaja mata rasa macam lebih terang, psikologi atau memang kesan bekam tersebut...hanya Tuhan yang tahu.
  6. Balik dari kampung membuat keputusan untuk membeli pil Danshen Plus.
  7. Baca testimonial pil tersebut dapat mengubati orang yang ada masalah jantung tersumbat. Rami yang sudah pulih daripada serangan sakit jantung selepas mengambil ubat tersebut.
  8. Pasa suatu malam berjumpa dengan Pengurus Jualan Danshen; Mr. Sam dihadapan rumah. Rupanya tidak jauh rumahku dengan HQ Danshen ini.
  9. Beliau memberitahu dan mengajar cara-cara makan oil tersebut iaitu 2 biji pagi sebelum sarapan dan 1 biji sebelum pukul 7. Tetapi ianya bukan pil atau kapsul. Ianya seperti biji-biji pil check tak aun....kena kelaurkan daripada kapsul dan diletakkan dibawah bibir. Macam guna GTN. Selang beberapa saat herba-herba tersebut akan larut.Dikatakan kaedah ini lebih mujarab berbanding makan macam pil biasa.
  10. Awalnya payah juga nak ambil herba ini.Agak pahit jugak. Betullah untuk menjadi ubat perlu pahit. Yang pahit itulah ubatnya.
  11. Ada terasa kesan-kesan yang sebelum ini tidak pernah dirasai selepas memakan ubat ini. 
  12. Teruskan makan dan minum air banyak-banyak. Mencegah lebih baik daripada merawat.

Friday, January 2, 2015

Selamat Datang 2015

  1. Alhamdulillah 2015 tiba dan masih lagi dipinjamkan usia untuk memasuki fasa baharu hidup.
  2. Fasa dimana anak akan mulai bersekolah menengah berasrama. Sejujurnya memang nurani ayah itu terlalu menyayangi anaknya dan tidak ingin memisahkan anak daripada keluarga.
  3. Tetapi untuk meremajakan anak dalam suasana kurang bergantung kepada orang lain, keputusan untuk menghantarnya ke sekolah asrama adalah satu pilihan yang betul.
  4. Untuk anakku; fahamilah bahawa ayah dan ibu menghantarmu ke asrama bukan kerana kami inging melepaskan tanggungjawab kami. Kami lebih seronok jika abang sentiasa bersama-sama kami sepnajang masa. Tetapi kerana sudah sampai masanya abang belajar untuk tidak terlalu bergantung kepada orang lain.
  5. Kami mahu abang mengambil tanggungjawab yang lebih sedikit; hidup berdikari sendiri. Abang nampak susah kerana nanti abang agak khuatir kerana tidak lagi dapat menikmati apa sahaja makanan yang abang inginkan seperti sekarang. Abang nampak risau kerana masa-masa terluang untuk bermain dan menonton televisyen bukan lagi ikut sesuka hati dan masa.
  6. Wahai abang! Kehidupan baru abang nanti akan sedikit berbeza. Sebahagian masa akan bersama-sama dengan rakan-rakan tanpa ayah dan ibu disisi. Tidur bangun dan aktiviti-aktiviti hidup akan lebih tersusun dengan jadualnya.
  7. Makan mengikut masa dan tersukat tidak boleh tambah seperti sedapnya nafsu selera.
  8. Kami percaya abang akan mampu melaluinya...Insya Allah.