Tuesday, October 18, 2011

Nukilan Hari Lahir Buat Seorang Sahabat

Buat seorang sahabat. Anda seorang yang hebat. Antara kita banyak beza, cuma ada beberapa perkara yang ada kesamaannya.

Pertama, hari lahir kita jatuh pada tarikh yang sama. Tidak pernah direncana apa lagi disusun cara. 19 Oktober 1972, di tempat berbeza dua orang ibu yang amat disayangi telah melahirkan putera-putera untuk mengalas harapan keluarga. Juga kini kedua orang putera ini telah pun kehilangan permata hati yang tiada golok-gantinya. Wahai ibu-ibu yang tercinta, semoga Allah mengampun dan merahmatimu ibu....39 tahun yang lalu, suara tangis bayi yang kau lahirkan itu telah memecah hening hari. Benih kasih sayang yang disemai olehmu sudah pun mengeluarkan bunga mewangi. Akar-akar pohon sudah bercambah menjadi satu pokok kuat. Al Fatihah buat kedua-dua ibu tercinta, sembilan bulan kesusahan membawa kandungan dan waima setitik susumu pun tidak dapat anak-anakmu ini membalasinya.

Kedua, kita datang dari daerah yang sama dan latar keluarga yang bukan berada. Kita hampir buktikan kaya harta bukan menjadi penghalang untuk membina sebuah kehidupan yang lebih bermakna. Kita bawa rimbunan kasih yang memberikan teduhan untuk sebuah lagi kehidupan yang akan datang.

Ketiga, kita pernah membina bersama semangat untuk mencintai agama dan bangsa sewaktu di usia jiwa yang sentiasa dilekakan oleh pendatang yang hanya menunggu masa 'membeli' pusaka tercinta. Masa itu kita marah sungguh kepada mereka-mereka itu, dan kini kemarahan itu tidak berhenti disitu. Perjuangan yang membara harus dihidupkan seperti api di dalam sekam. Katakan kepada mereka-mereka; sopan kita ada batasnya.


Keempat kita telah dididik di satu tempat yang banyak mengajar kita bahawa semua orang boleh berjaya. Dan ketika itu, ia telah menunjukkan bahawa setiap orang perlu diberi peluang kedua. Tempat ini telah melahirkan ramai yang berjasa. Tempat ini memberikan tongkat untuk kita bangun, berjalan dan berlari dengan penuh yakin. 

Wahai sahabat, bersama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Ya Allah tetapkanlah kami ke jalan yang lurus, janganlah kau pesongkan kami setelah kau berikan petunjuk. Ampunilah dosa-dosa lampau kami. Berkatilah usia kami. Dan rahmatilah kami. Ya Allah, kau ampunkan dosa ibu dan bapa kami, kasihanilah mereka sepertimana mereka memberikan kasih kepada kami sewaktu kami kecil hingga dewasa. 

Sahabatku, selamat hari lahir. Angka tiga dihadapan semakin mencemburui kita. Empat dihadapan menunggu pula. Insya Allah.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, October 13, 2011

Dan Keputusannya

  1. Selesai semua persediaan yang telah diatur. Yang dirancang itu sesempurnanya mulai dituruti sebaik boleh supaya nampak tidak dibuat enteng.
  2. Elaklah dari bermain gampang-gampangan tanpa fikir laba ruginya.
  3. Banyak mulut dibelakang yang mungalimut memaki cela menabur nista.
  4.  Satu demi satu dilepasi ranjau itu biar pun kadang rasa adanya sukar memerahkan tenaga lebih daripada biasa.  Ketika ini nampaknya ramai yang berhelat dalam permainan hidup.
  5.  Akal buntu membawa kepada golak jiwa kacau yang mencela sopan kerincihan tenang. Dalih cuba untuk menafikan benar; sudah mengumpan putih cemar menjadi birat kehitaman.
  6. Cakar antara mulut bisa dan hati berbisik jahat menyatukan azam untuk menabung dosa, mencampak begitu sahaja bunga-bunga pahala.
  7. Katakan kepada mereka bakarlah air dan ambil abunya. Jangan dinanti putihnya gagak yang hitam.
  8. Cepatlah ambil kaki diam-diam ubi; susun mundur teratur.
  9. Pilihan sudah lama terbuka. Untuk menemukan punca tersimpul mati buah fikir bukan semudah menabur dusta mencabul hormat percaya.
  10. Mengapa berkepenjangan bertunggang hilang memberani mati.
  11. Dan keputusannya?
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, September 13, 2011

Pintu Keluar

Terdengar hiruk pikuk hati menjerit-jerit untuk dicari jalan supaya keluar dengan segera daripada percikan amarah supaya api tersebut tidak besar membakar. Biar perlu melangkah bongkah-bongkah harapan bahawa  membahas fikir adalah sebahagian dari cabaran untuk berenang melintasi lautan. Tidakkah tahu bahawa memang kail itu pendek, tetapi mengapa masih mahu juga lautan hendak didugal?

Benarlah kata-kata terdahulu bahawa ada peluang ketiga selepas yang satu dan pertama hanyut terhantuk kembali ke tebing. Tidak kerana tongkah yang bocor tapi kayuhan mulai semakin perlahan. Kiri dan kanan semakin tidak sekata kerana mengikut si kanan otot dan tenaganya lebih banyak mendayung usaha; maka apabila dahaga penat maka dia sahaja yang lebih patut meneguk air yang lebih waima air itu adalah air laut yang sangat masin serta percuma.

Datangnya senja yang membawa malam gelap setelah purnama merendah diri akan membuatkan penantian sore terasa begitu hampa. Menjelang subuh luka akal mesti diubati supaya apa yang baik jangan dicerca;  apa yang buruk dijulang sorak. Nah, sampai masa terbitnya mentari pintu keluar mesti dicari agar tidak nanti papa kedana terjun melompat jendela.

Untuk hati yang masih lagi upaya, akal kata masanya sudah tiba. Guruh itu hanya banyak yang berdentum-dendam namun belum tentu hujan akan turun. Lalu, mengapa dibuang bekal ditempayan?

Selamat kembali tangan dan joran, kail itu memang tidak kesampaian. Mari keluar terus cepat sahaja menjala. Seperti beburung, kais pagi untuk makan pagi. Bangkitlah untuk cari pahala sedang kaya harta  bisa menutup sungai-sungai di dalam taman di hari pembalasan. Mungkin dengan noda-noda kotor itu kelak, dosa pula akan dilibas; akhirnya dipanasi api neraka.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Saturday, September 10, 2011

4 Kunci Kebahagiaan

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:":Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.!" Riwayat Ibnu Hibban

Huraian :

i) Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.

b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.

c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.

d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.

ii) Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.

iii) Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.
Published with Blogger-droid v1.7.4

tok janggut



Published with Blogger-droid v1.7.4

Hyper

Budak yang hyper
Published with Blogger-droid v1.7.4