Tuesday, October 18, 2011

Nukilan Hari Lahir Buat Seorang Sahabat

Buat seorang sahabat. Anda seorang yang hebat. Antara kita banyak beza, cuma ada beberapa perkara yang ada kesamaannya.

Pertama, hari lahir kita jatuh pada tarikh yang sama. Tidak pernah direncana apa lagi disusun cara. 19 Oktober 1972, di tempat berbeza dua orang ibu yang amat disayangi telah melahirkan putera-putera untuk mengalas harapan keluarga. Juga kini kedua orang putera ini telah pun kehilangan permata hati yang tiada golok-gantinya. Wahai ibu-ibu yang tercinta, semoga Allah mengampun dan merahmatimu ibu....39 tahun yang lalu, suara tangis bayi yang kau lahirkan itu telah memecah hening hari. Benih kasih sayang yang disemai olehmu sudah pun mengeluarkan bunga mewangi. Akar-akar pohon sudah bercambah menjadi satu pokok kuat. Al Fatihah buat kedua-dua ibu tercinta, sembilan bulan kesusahan membawa kandungan dan waima setitik susumu pun tidak dapat anak-anakmu ini membalasinya.

Kedua, kita datang dari daerah yang sama dan latar keluarga yang bukan berada. Kita hampir buktikan kaya harta bukan menjadi penghalang untuk membina sebuah kehidupan yang lebih bermakna. Kita bawa rimbunan kasih yang memberikan teduhan untuk sebuah lagi kehidupan yang akan datang.

Ketiga, kita pernah membina bersama semangat untuk mencintai agama dan bangsa sewaktu di usia jiwa yang sentiasa dilekakan oleh pendatang yang hanya menunggu masa 'membeli' pusaka tercinta. Masa itu kita marah sungguh kepada mereka-mereka itu, dan kini kemarahan itu tidak berhenti disitu. Perjuangan yang membara harus dihidupkan seperti api di dalam sekam. Katakan kepada mereka-mereka; sopan kita ada batasnya.


Keempat kita telah dididik di satu tempat yang banyak mengajar kita bahawa semua orang boleh berjaya. Dan ketika itu, ia telah menunjukkan bahawa setiap orang perlu diberi peluang kedua. Tempat ini telah melahirkan ramai yang berjasa. Tempat ini memberikan tongkat untuk kita bangun, berjalan dan berlari dengan penuh yakin. 

Wahai sahabat, bersama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Ya Allah tetapkanlah kami ke jalan yang lurus, janganlah kau pesongkan kami setelah kau berikan petunjuk. Ampunilah dosa-dosa lampau kami. Berkatilah usia kami. Dan rahmatilah kami. Ya Allah, kau ampunkan dosa ibu dan bapa kami, kasihanilah mereka sepertimana mereka memberikan kasih kepada kami sewaktu kami kecil hingga dewasa. 

Sahabatku, selamat hari lahir. Angka tiga dihadapan semakin mencemburui kita. Empat dihadapan menunggu pula. Insya Allah.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, October 13, 2011

Dan Keputusannya

  1. Selesai semua persediaan yang telah diatur. Yang dirancang itu sesempurnanya mulai dituruti sebaik boleh supaya nampak tidak dibuat enteng.
  2. Elaklah dari bermain gampang-gampangan tanpa fikir laba ruginya.
  3. Banyak mulut dibelakang yang mungalimut memaki cela menabur nista.
  4.  Satu demi satu dilepasi ranjau itu biar pun kadang rasa adanya sukar memerahkan tenaga lebih daripada biasa.  Ketika ini nampaknya ramai yang berhelat dalam permainan hidup.
  5.  Akal buntu membawa kepada golak jiwa kacau yang mencela sopan kerincihan tenang. Dalih cuba untuk menafikan benar; sudah mengumpan putih cemar menjadi birat kehitaman.
  6. Cakar antara mulut bisa dan hati berbisik jahat menyatukan azam untuk menabung dosa, mencampak begitu sahaja bunga-bunga pahala.
  7. Katakan kepada mereka bakarlah air dan ambil abunya. Jangan dinanti putihnya gagak yang hitam.
  8. Cepatlah ambil kaki diam-diam ubi; susun mundur teratur.
  9. Pilihan sudah lama terbuka. Untuk menemukan punca tersimpul mati buah fikir bukan semudah menabur dusta mencabul hormat percaya.
  10. Mengapa berkepenjangan bertunggang hilang memberani mati.
  11. Dan keputusannya?
Published with Blogger-droid v1.7.4