Tuesday, August 10, 2010

Menjelang Ramadhan 1425H Lepas

30 Syaaban beberapa tahun yang lalu;, sehari sebelum datangnya Ramadhan. Jam hampir menunjukkan pukul 8.00 pagi. Satu bujur kaku berbaring disudut rumah Atok. Segera aku membawa Atok keluar sekali mencari bilal wanita untuk menyempurnakan jenazah ibunda tersayang dikampung hujung itu. Lepas sahaja azan subuh jenazah ibunda dapat dibawa keluar dari rumah jenazah Hospital Muar. Ibunda pergi setelah hampir setahun lebih berjuang melawan kanser payudara yang disembunyikan deritanya dari kami agak lama. Dan tiga empat bulan terakhirnya selepas membuat pembedahan; ibunda hilang nikmat penglihatan. Hampir separuh badan tidak dapat bergerak kerana lumpuh. Agaknya kesan bius yang diberikan untuk tujuan pembedahan tersebut.

"Assalamualaikum mak; mak nampak sihat". Kataku cuba memujuk hati emak. Biarpun ketika itu sakitnya itu hanya dia yang tahu. Lama aku memujuk agar kanser payudaranya itu dibuang. "Mak ingat tak apa. Itu bisul raja. kata orang tua-tua." Emak cuba menolak cadangan aku agar pergi ke rumah sakit merawat kansernya. Aku tetap memujuk juga. "Emak, nanti kalau mak buat rawatan tu, saya akan nazar untuk kita buat korban lembu sekali. Lepas tu bila emak ada rezeki, boleh pergi haji dengan Pak Long" pujuk ku.

Emak ni dia seorang wanita yang memang gagah. Selepas ayah tiada; tanggungjawab sebagai ayah dan ibu ditanggung dengan penuh jaya. Membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang amat susah. Susah dalam erti kata tidak dapat ditanggung oleh mata melihatnya. Hanya bahu yang memikul merasai beban dari banyak mulut yang hanya tahu berkata. Semua kerja dibuatnya, menjaga anak dan juga menjaga emaknya; ditatang seperti minyak yang penuh. "Itulah lepas emak kau tiada; Atok rasa terbiar." Pintas Atokku. Dulu arwah emak kau tu, waima nasi lauk telur goreng saja pun dia akan hantar makanan pada Atok. Ya lah Atok ini dah tua, makan pun seorang sahaja; banyak mana sangatlah makan orang tua ni. Antara curahan hati seorang Atok akan kehilangan kasih anaknya. Memang payah nak beza kaca dan permata apabila orang itu berada dalam kehidupan kita.

"Kenapa mak pergi bawa adik berubat tidak beritahu kita orang? Selagi saya ada, emak mesti memberitahu saya. Saya ini anak sulung. Emak kena merujuk kepada saya supaya sama-sama dapat kita buat keputusan" Panik aku dan adik-adik; emak hilang dengan adikku yang baru terlibat dalam kemalangan. Patah kaki adikku. Dari pagi sampai ke subuh esoknya. Rupanya dia pergi ke Perak. Setelah diberitahu oleh orang sekeliling dalam wad; ada tempat rawatan patah kaki di Perak; bergegas dia membawa adikku keluar dalam keadaan kaki yang patah. Serta merta dicari teksi untuk pergi mendapatkan ubat untuk anaknya. Itulah naluri ibu. Begitu memayahkan diri demi anaknya. Kita?

"Mak cik ni dah lama berhenti dari menyempurnakan jenazah wanita". Jawab seorang mak cik yang dahulunya pernah mengambil kefarduan kifayah tersebut. "Ingat cuba anak jumpa mak cik Timah"; sekarang dia jadi bilal wanita juga. Aku kurang kenal sangat orang kampung Atokku; banyak masa aku bersama nenek sebelah ayah berbanding dia. Jadi kalau nak mencari juga orang kampung Atok ni kena bawa dia sekali. Baru orang kampung kenal. Masa emak meninggal, jenazahnya dibawa balik ke rumah Atok; masa tu kami yatim; tiada orang ayah; dah ini jadi yatim piatu pulak; perlulah ada orang-orang tua dalam membantu kami mengendalikan urusan tersebut. Rumah Atok yang terbaik. Semua boleh berkumpul kat situ.

Ini pertama kali aku menjadi wali kepada adik perempuan ku yang akan bernikah pada hari ini. Lepas pemergian ayah; ini juga kali pertama  pernikahan dibuat. Memang saat ini bagi ibu bapa satu saat yang penuh bermakna. Melepaskan amanah menjaga perilaku dan tingkah anak gadis kepada bakal suaminya. Sesungguhnya jasa yang dicurah oleh kedua orang tua ini langsung tidak terbalas oleh anak-anak biar duit dan emas ditaja setinggi gunung; seluas lautan.

"Untuk kali terakhir siapa yang nak pakaikan emak celak." Kata bilal wanita kepada kami adik-beradik sebelum kapan tersebut hendak disempurnakan. Adik perempuan aku bingkas bangun dan mengambil tugasan tersebut dengan penuh kesedihan.  Selepas itu aku memulai barisan untuk mengucup dahi emak buat kali terakhir. Aku tahu kasihku kepada emak tidak sempurna . Andai emak merasa terluka aku akan sentiasa berdoa agar emak mengampunkan dosa ku kepadanya. Aku tidak dapat menjadi anak yang terbaik tapi aku telah mencuba. Kami redha; dariNya kamu datang dan kepadaNya kamu dikembalikan. Tapi kasih dan sayangmu berkekalan.

Selamat jalan syaaban dan tibanya ramadhan akan sentiasa mengimbau kenangan kasihmu ibu. Walaupun tiada lagi air tangan mu menyediakan sajian berbuka kami; tapi jamuan kasih yang kau berikan sungguh menyedapkan hati anak-anakmu. Kami masih lagi rindu kasihmu!


No comments: