Wednesday, April 16, 2008

Belacan Atau Keju


Berlalu sudah sessi pemilihan ketua untuk menjadi pemimpin samada pemimpin itu memimpin atau ada juga sekadar dipimpin. Ada yang memang layak untuk dicalonkan dirinya untuk dipilih sebagai pemimpin. Tak kurang yang melayakkan diri supaya dapat bergelar sebagai seorang pemimpin supaya kepimpinan tersebut hanya untuk memimpin dirinya menjadi lebih berharta, lebih kaya, dan......terkadang orang yang memilih tersalah pilih. Tersalah pilih pemimpin atau kepimpinan merupakan dua unsur yang berbeza. Ia umpama tersalah pilih restoran atau tersalah pilih menu. Akhirnya perut terus-menerus lapar. Oh...rupanya pemakan dah mual nak makan menu sama. Atau mungkin si pelahap ini mulai hilang selera makan direstoran sama.

Tapi bolehkah hilang selera itu kerana rencahnya mulai berkurangan kerana modal besar, atau sengaja ditawarkan untuk mendapat untung lebih atau selera pemakan berubah..bosan juga kalau hari-hari makan lauk yang sama sahaja. Mungkin kadang-kadang lauk kampung nak ditukar untuk mencuba makanan barat; stik, fish & chip, spagetti...Wahai chef; tolonglah ubah sikit cara masak, tukarlah kuali. Kuali yang lama tu dah naik berdebu, cerek tu dah bocor, sudip tu dah patah, sudu pun dah bengkok. Dapur pulak api makin merah warnanya. Mana masakan nak ranum rasanya. Kadang-kadang lebih rasa asap dari rasa segalanya.

Jangan cedok dan rasa makanan yang dimasak sendiri. Terkadang makan fastfood boleh tahan, harga mahal sikit tapi cepat, variasi dan tertipu dengan acah iklannya. Pernah tak fikir semua fastfood ini mana nak ada jatidiri. Makan pun kena jajah. Pernah tak tanya berzat ke fast food ni? Hebat kenapa? Kerana itu ada yang kata kemajuan. Baru ada style!

Wahai tukang masak...fikir-fikirkan supaya jangan sampai kaum sebangsa sudah mula makan keju dan lupakan belacan.

Sunday, April 13, 2008

Ini Sekolah Pemimpin Negeri

HSM. Suatu nama yang menguntum mekar di sebuah daerah utara Negeri Gerbang Selatan. Inilah sebuah gedung yang penuh dengan memori, inspirasi dan aspirasi bagi satu kepimpinan apa sahaja kekhalifahan yang diterajui sebagai mahkluk muka bumi. Sesunguhnnya Usaha Itu Bukan Kata kerana ramai orang yang cuba memperdaya dengan menggunakan lidah yang melahirkan sebanyak mana kedustaan sahaja demi pangkat dan darjat. Yang teruknya ia melaratkan pembohongan itu sampai kepada tahap keimanan pada yang Maha Esa...hanya tinggal nama sahaja yang Islam tapi iman dan hati berkiblatkan nafsu dan dosa. Kerana apa? Kerana itulah keasyikan dunia yang dicari hasil dari cetakan musuh durjana.

HSM. Kau telah membuktikan bahawa anak-anak desa ini juga mampu membawa sebuah perjuangan...bisa mengubah sebuah cerita kesedihan, kemiskinan dan kemungkaran untuk mengenal erti sebuah kehdupan yang hakiki. Walau tidak kaya harta tapi disinilah tempat yang melahirkan satu cita yang semuanya mempunyai peluang yang sama.

HSM. Kecerdikan dan kepandaian yang kau lahirkan hasil dari korban satu bangsa asalnya. Korban untuk bicara bahasa ibunda. Sesungguhnya setiap pengorbanan itu telah menjadi sebuah tanda agar anak-anak bangsa ini sepatutnya menjadi lebih peka...jangan sampai hilang segalanya.

HSM. Satu kehidupan pernah berlaku disini dan semangatnya masih membara. Setiakawan kepada satu persaudaraan ada yang kekal. Ada yang hanya sementara seusianya tingkatan-tingkatan yang ditinggalkan akhirnya.

HSM. Selepas itu satu keputusan perlu dibuat untuk meneruskan kehidupan ini untuk destinasi seterusnya sebelum berlabuh di alam kekal; runtuhnya langit robeknya bumi.

HSM. Terima kasih kerana sebuah kedudukan telah terbina dari satu kehidupan yang bermula disini......

Memo dari Satu Sub-Kontraktor


Ini amalannya
Nasib Seorang Subkontraktor
Guna punca dulu buat kerja sampai siap
Bayar dan upah bukan tujuan kononnya
Tunjuk prestasi kerja
Agar rekod kontraktor utama sentiasa dijaga

Cukup masa siang dan malam
Kerja dikontrak habis dilaksana
Tagih janji mana habuannya
Baru tahu kena tunggu beberapa purnama

Minggu berminggu cakap percuma
Yang menuggu penuh seksa
Habis berjanji pusingkan masa
Madu dimulut menjadi bisa
Dulu dikejar siapkan kerja
Tegang urat maki dan cela
Habis keluar semuanya tak guna
Lepas siap habis macam mana?
Katanya lain kali jadilah kontraktor utama.
Macam semua barang percuma
Buruh pula kerahan tenaga.

Jangan Hanya Photostat Sahaja

Membuat salinan pada saat ini amat mudah kerana adanya mesin photosat. Benda yang kecil boleh dibesarkan dan benda yang nampak saiznya besar boleh dikecilkan ikut saiz yang dikehendaki. Lebih canggih salinan warna juga boleh dibuat supaya menjadikan ia sebenar-benarnya salinan pendua. Photosat ini kurang lebih telah membunuh banyak keaslian kerana ramai nilaian rendah orang untuk mencari sesuatu yang bukan dari penduaan yang dibuat-buat asli.

Ada juga konsep salin dan cetak ini digunakan dalam lain-lain aspek kehidupan bagi orang-orang yang tidak pernah mengilhamkan keaslian kerana kehidupannya juga banyak yang disalin dari bab-bab riwayat hidup yang juga tiada nilai aslinya.

Ceduk dan cetak kisah-kisah lampau yang kosong ini membuat salinan pendua itu nampak pudar dan lama-kelamaan cetak itu akan hilang ditelan masa.

Saturday, April 12, 2008

Apa itu Dosa??

Semakin hari gelumangan dalam kepulan dosa seperti hembusan asap perokok tegar. Bukan senang perokok itu boleh memberhentikan aktiviti rokokan yang telah diceburi menjadi lebih profesional. Ada yang bermula dengan seawalnya usia di sekolah rendah kononnya menjadi jantan. Meningkat dewasa di sekolah menengah dan seterusnya kecimpung dalam dunia pekerjaan, asap itu motivasi kononnya.

Sedarlah wahai sahabat perokok yang sesungguhnya asap itu bukan sahaja mengaburi hidup dan masa depan kalian juga mengaburi alam sekitar sekaliannya. Kiranya anda merasa umur anda akan terlampau panjang tolong kasihan kepada alam sekitaran, sahabat, isteri, suami, anak-anak dan generasi-generasi yang akan datang kerana kami perokok sekunder mendapat risiko bahaya yang lebih tinggi dari anda yang sememangnya menikmati azab ini sebagai suatu nikmat.

Kuat kita mengucapkan bahawa kita kita berdosa. Apakah dosa itu semata balasan kepada suatu kemungkaran dan ketidaktaatan kepada suatu perintah. Atau dosa itu sebagai mata demerit sebagai denda yang akan menentukan tahap balasannya.

Satu hari Jumaat yang mulia, seorang khatib unggul menyatakan bahawa dosa juga perlu dilihat sebagai dinding. Dinding yang semakin hari semakin menebal; memisahkan seorang insan dari Tuhannya. Dinding yang menjarakkan hubungan kasih Maha Pencipta dengan makhluknya. Dalam kesayupan terkadang memang terasa Ya-Rabbi kau semakin jauh....Ampunkan dosaku Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang.

Apa cara yang bisa insan hina ini dapat memecah dan membolosi dinding-dinding ini kiranya berterusan dosa itu berlaku...Kejamnya hambamu ini Ya Allah Ya Rahman.